Pewujudan Grup Facebook Sekolah Rendah Perempuan Yahya Awal Johor Bahru (SRPYA) baru-baru ini oleh salah seorang daripada bekas muridnya telah mencetuskan kembali ingatan terhadap musim persekolahan di situ. Berpusu-pusu datangnya memori ketika darjah satu hingga enam di sekolah yang kesemua murid-muridnya perempuan itu.
* Beberapa nama yang disebut telah ditukar ejaan kerana ditulis tanpa mendapatkan izin yang empunya diri.Saya mohon maaf jika ada yang membantah, sila maklumkan dan saya akan keluarkan nama anda dari paparan.
Masuk
Sekolah
Pada tahun
1970, semasa masih tinggal di rumah teres Larkin Pasar, saya masuk ke darjah
satu. Saya perlu ke Sekolah Rendah Perempuan Jalan Yahya Awal, tetapi kerana
saya termasuk dalam senarai yang lambat didaftar, saya terpaksa memulakan sesi
persekolahan di sekolah cawangan di Jalan Abdul Rahman Andak. Sekolah sebenar
saya telah penuh dan tidak cukup kelas. Maka mendaftar dirilah saya di sekolah
bekas pasar depan Saujana, rumah Menteri Besar Johor itu.
Hari pertama saya ke
sekolah, orang semua beruniform, saya tidak. Abah saya memang weird sedikit,
kadang-kadang saya sendiripun kurang faham dengan perangai dan ideologi dia.
Dia beria-ia tidak bagi saya pakai uniform, saya disuruhnya pakai baju biasa,
pasti belum mula belajar katanya. Maka sayapun dipakaikan baju gaun cantik berwarna
orange berpolka dot putih, lenggang-kangkung, satu buku atau beg pun tidak
dibawa.
“Abah ni,
malulah orang lain semua pakai uniform, orang sorang je lain!”
“Biarlah,
apasal pulak nak malu, confident je, be brave.”
Sayapun
seperti biasa memang telah dilatih agar jangan takut tidak tentu pasal dan
mesti pandai berfikir menggunakan otak sendiri. Kalau hendak diikutkan Abah
saya, macam-macam lagi yang dia telah beritahu saya. Menurut Abah, cerita hantu
itu semuanya tipu dan rekaan semata-mata, silap mata itu bukan magik sekadar
aksi pantas yang menyilapkan mata kita, trick katanya, wrestling yang
ditayangkan di televisyen (dan selalu kami tonton terpaksa di rumah Tok Abah
kerana diminati oleh Tok Mok) itupun tipu belaka, sekadar lakunan dan
koreografi yang telah ditentukan siapa pemenangnya, dan banyak lagilah yang
tidak mungkin saya senaraikan semuanya di sini.
Berbalik
kepada cerita masuk ke darjah satu, setelah mendaftar sayapun mengambil
tempat duduk, hampir di tengah-tengah kelas, itu sahaja yang masih ada. Ibubapa
kelihatan menunggu di luar kelas, berderet di tingkap berjaring yang tidak
berdaun tingkap mahupun bercermin louvres itu. Saya tidak termasuk dalam
kategori budak yang menangis dan keresahan, walaupun saya tidak pernah
menjejakkan kaki ke mana-mana tadika sebelum ini. Yang pasti saya relaks sebab
telah boleh membaca dan mengira dengan lancar sejak berusia lima tahun lagi,
hasil didikan Abah saya sendiri. Pada hari pertama itu, Cikgu 1D memulakan
pengajaran ABC dan 123. Bagi saya ia sekadar ulangkaji pelajaran yang telahpun
ada melekat di dalam benak saya.
Abang
Mohid
Hari kedua
sekolah, baru saya berbaju uniform lengkap dengan beg dan buku-buku. Saya ke
sekolah bersendirian dihantar oleh Abang Mohid, driver yang Mak saya dapatkan untuk
menghantar dan mengambil saya. Pada ketika itu, Abang Mohid baru mahu memulakan
kariernya sebagai pemandu van sekolah, tetapi dia masih belum mempunyai van,
sekadar sebuah kereta buruk ala-ala kereta batman. Mak dan Abah berbual-bual
dengan Abang Mohid terlebih dahulu sebelum meletakkan keselamatan saya ke dalam
tangannya. Ternyata Abang Mohid dapat meyakinkan mereka. Abang Mohid memang sungguh
awesome orangnya. Oleh kerana gembira sangat mendapat kepercayaan Mak dan Abah,
dia menjaga saya betul-betul, bagai menatang minyak yang penuh. Saya dihantar sampai ke
pintu kelas, bila balik pula, Abang Mohid telah sedia menunggu sebelum saya
keluar kelas. Dia akan sentiasa pimpin tangan saya dan bawakan beg saya
sehingga ke dalam kereta. Kemudian dia bawa saya ke sekolah lain pula untuk
mengambil pelajar lain. Kalau mereka lambat, Abang Mohid belanja saya aiskrim.
Adik Abang Mohid bernama Haleeza pun bersekolah sekali dengan saya tetapi
berlainan darjah. Kalau hari hujan, Abang Mohid dukung kami bergilir-gilir di
atas bahunya agar kasut sekolah kami tidak kotor dan memayungkan kami sehingga
ke pintu kelas. Bertuah betul dapat driver macam Abang Mohid, satu dalam seribu
rasanya. Saya terus diambil dan dihantar oleh Abang Mohid sehingga saya ke
sekolah menengah. Daripada kereta buruk, kepada van kecil, sehinggalah coaster
van pertama milik anak Melayu di JB yang sungguh glam itu, saya tetap bersama
dengan Abang Mohid. Saya terpaksa berpisah dengan Abang Mohid apabila kami
kemudiannya berpindah ke kawasan lain yang bukan route Abang Mohid. Semasa saya
di tingkatan lima, Abang Mohid telahpun mempunyai bas yang besar dan panjang.
Dia masih lagi kenal saya, kadang-kadang kalau dia jumpa saya sedang menunggu
van saya, dia akan tegur dan adakalanya, dia akan turun dari bas dan bagi saya
sepuluh ringgit. Saya sayang Abang Mohid macam saudara sendiri. Besar jasanya
pada saya, tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Semoga Abang Mohid dan
keluarga sentiasa dalam lindungan Allah di mana jua dia berada.
Sekolah
Jalan Abdul Rahman Andak
Semasa di
sekolah ini pada waktu rehat, kami selalu bermain-main di padang sekolah yang
terletak bertentangan dengan Saujana. Permainan yang sering kami main adalah
Nenek-nenek Si Bongkok Tiga. Pada suatu hari, tengah syok-syok main, nampak
pula Aunty saya tiga-empat orang berdiri sederet di pagar sekolah memanggil-manggil
saya. Alamak, oleh kerana pada masa itu Tok Mak saya masih tinggal di Rumah
Temenggong Ahmad, Tok Mak pun suruh makcik-makcik saya menghantarkan bekalan
dan menengok-nengokkan saya di waktu rehat. Sayapun segera berlari ke arah
mereka.
“Nanti tak
payah datang lagilah. Orang dah makan, beli kat kantin. Kadang-kadang Mak ada
bagi bekal.”
“Betul ni?
Ada kantin? Kat mana?”
“Betul. Kat
belakang.” (Padahal kantin yang ada cuma besar sedikit daripada sebuah toilet!)
“Betul ni, dah
okay semua?”
“Betul..okay..nak
main ngan kawan..bye!”
Sayapun cabut
semula untuk sambung main Nenek-nenek Si Bongkok Tiga.
Nenek,
nenek, si bongkok tiga,
Siang
mengantuk,malam berjaga,
Mencari
cucu dimana ada,
Nenek ku kahwin dengan anak raja.
Cucu,
cucu, tak dapat lari,
Nenek
tua banyak sakti,
Sekarang
nenek nak cari ganti,
Siapa
kena,dia yang jadi.
Kadang-kadang
nakal kami setaraf budak lelaki juga. Rasa curious dan tertarik sangat untuk ke
hujung padang dan melihat apa yang ada di bawah cerun bukitnya. Pernah kami
turun menggelongsor ke bawah bukit dan meronda-ronda di sekitar kampung yang
terletak di bawah cerun padang itu. Agak-agak loceng naik daripada rehat hampir
berbunyi baru kami berlari sekuat-kuat hati balik ke sekolah. Tercungap-cungap
masuk ke bilik darjah semula. Nasib baik pada zaman itu, tidak ramai dan boleh
dikatakan hampir tiada anasir-anasir jahat yang mengancam keselamatan
murid-murid sekolah seperti sekarang ini.
Apabila
bangunan baru tambahan di sekolah sebenar kami iaitu Sekolah Jalan Yahya Awal
siap, kami pun berpindah ke sekolah itu. Sekolah Jalan Abdul Rahman Andak ini
kemudiannya menjadi Sekolah Rendah Angkatan Tentera pula.
Sekolah
Jalan Yahya Awal
Dengar
cerita, sekolah ini pun bekas pasar basah juga. Nampaknya banyak pula pasar di
Johor Bahru ini yang ditukar-guna. Seingat saya semasa di sekolah ini saya
berdarjah 4 Kuning, 5 Biru dan 6 Kuning. Semasa darjah empat kelas saya
terletak di blok lama di bahagian belakang, darjah lima di blok baru dan darjah
enam kembali ke blok lama tetapi di bahagian hadapan sekolah pula. Ada suatu
peristiwa sedih berlaku semasa saya di darjah empat, rakan di meja sebelah
saya, Amiza meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya. Tergamam kami
sekelas buat seketika. Antara watak rakan sekelas yang saya ingat di darjah
empat adalah Nozee yang pandai melukis dan menyanyi lagu-lagu orang putih. Dia
juga suka baca buku kisah cinta terbitan Mills and Boons.
Semasa di
darjah lima pula, berlaku satu kejadian yang tidak dapat saya lupa sampai
bila-bila. Pada suatu hari, ketika kami semua sedang sibuk dengan rehearsal
untuk hari sukan tahunan, berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka.
Beberapa pelajar kedengaran menjerit-jerit diserang histeria. Kekecohan
berlaku, sesi rehearsal pun ditamatkan dan kami semua diminta kembali ke kelas
masing-masing dan dilarang bergerak ke mana-mana. Guru-guru sibuk menguruskan
para pelajar yang telah histeria untuk dihantar ke hospital. Saya pun duduk
diam-diam di dalam kelas 5 Biru, ada seorang guru menemani kami. Tiba-tiba kami
dengar pelajar di tingkat atas blok kami pula menjerit-jerit. Guru kami minta
kami bertenang dan jangan bergerak dari tempat masing-masing. Saya memandang ke
luar, dari celah cermin louvres kelihatan beberapa orang sibuk berlari ke sana
ke mari. Tiba-tiba saya lihat ada dua tiga orang sedang menaiki tangga menuju
ke blok kami, dan apabila saya pandang, muka salah seorang daripada mereka
kelihatan begitu buruk dan menakutkan sekali. Saya pejam mata saya dan
membatukan diri. Saya ingat kata-kata Abah bahawa hantu hanyalah bayangan dan
permainan di dalam minda kita sahaja. Cuba untuk menenangkan diri, saya
berkata-kata di dalam hati bahawa pasti itu cuma suatu imaginasi. Saya buka
mata dan lihat kembali, mereka tidak kelihatan lagi. Sekolah tenang semula.
Hari itu saya pulang ke rumah dengan seribu satu persoalan bermain di minda.
Semasa darjah
enam pula, saya mula berkenalan dengan Yatie. Ada dua Yatie di dalam kelas saya,
Yatie G dan Yatie Specky. Nozee masih bersama dengan saya di kelas ini, dia
berkawan rapat dengan Sitah anak seorang doktor dan anak saudara kepada Guru
Besar kami Puan Rafeah. Sitah juga seorang penggemar buku cerita Inggeris Mills
and Boons, dan bersama dengan Nozee, mereka ibarat taukeh buku cerita love
stories. Kalau hendak pinjam, carilah mereka. Semasa darjah enam ini juga kami
mulai ada kelas muzik. Kami belajar menyanyi koir dengan guru muzik yang
memainkan piano. Antara lagu yang paling saya ingat adalah lagu daripada filem The
Wizard of Oz, Somewhere Over The Rainbow. Semasa ada pertandingan koir, kelas
kami ada menghantar wakil kumpulan koir, mestilah Sitah dan Nozee turut serta,
Yatie G juga dipilih termasuk seorang lagi yang memang terror menyanyi, Jofeen
namanya. Ramai jugalah yang dipilih menganggotai kumpulan koir itu, tetapi
tidak saya. Saya bukan pandai menyanyi pun, suara tidak ada power. Memang
hebatlah lagu yang dipilih untuk mereka nyanyikan, siap dengan pelbagai bunyi
binatang dan kesan bunyi lain yang dibuat menggunakan suara sahaja. Choo-choo,
wee-wee, tweet-tweet, haha, hihi, hoho, macam-macam lagi, semua ada, rasanya lagu daripada filem The Sound of Music, entahlah ingat-ingat lupa. Berteater
pun ada diajarkan, yang ini saya pernahlah sekali dipilih untuk menyertai, jadi Permaisuri. Yatie
G kemudiannya menjadi kawan baik saya semasa kami sama-sama sekelas tingkatan satu di sekolah
menengah. Yati Specky pula kini sudah menjadi seorang penulis
lirik lagu yang terkenal. Antara watak lain yang saya ingat adalah Sofee yang sedikit boyish dan rugged orangnya.
Tidak ramai yang saya ingat sebab pada ketika bersekolah rendah saya tidak berapa suka ke sekolah. Ponteng pun selalu. (Cuma baru-baru ini apabila rakan-rakan bekas pelajar enam kuning dan SRPYA mengeluarkan gambar-gambar kelas, barulah saya ingat kembali dan mengenali wajah-wajah yang terpapar. Ada di antara mereka bersahabat dengan saya di sekolah menengah tetapi tidak saya sangka rupanya sekelas ketika di sekolah rendah.) Pada masa itu saya rasa bosan dan lebih seronok duduk di rumah. Apa yang cikgu ajar kebanyakannya saya sudah baca terlebih dahulu di rumah. Abah saya selalu beli buku terlebih awal sebelum naik darjah. Saya pula dari sebelum masuk ke sekolah rendah, semasa masih berumur empat atau lima tahun sudah mula membaca dan kemudiannya sibuk dengan majalah Wanita, Life Magazine, Readers Digest dan National Geographic serta buku-buku cerita Enid Blyton. Aktiviti membaca ini berterusan, sehinggakan ketika itu kalau boleh sambil makan pun mahu pegang bahan bacaan.
Di dalam kelas darjah enam kuning ini, saya duduk di hadapan sekali sebelah kanan kelas, betul-betul bertentangan dengan meja guru. Jadi kalau guru membebel pun saya boleh dengar, misalnya Guru Kelas kami Mrs. Ang yang mengajar Bahasa Inggeris, suka sangat menggunakan perkataan "sickening" bila dia marah atau sakit hati. Dia juga selalu berleter dan menyembur secara am "..what are you doing? Sitting there doing nothing? Shaking legs!.." Pergh berbisa sungguh dan makan dalam. Mungkin murid-murid lain tidak dengar sebab tempat duduk mereka jauh dari meja guru. Bagi saya, sampai kini masih lagi terngiang-ngiang di minda. Saya jadi serba salah untuk membuang masa tidak tentu arah. Memang tidaklah! Kalau Cikgu Zalehah pula, saya jadi seram sejuk sedikit, sebab saya selalu jadi mangsa kena menjawab soalan. Kalau soalan diajukan tidak dapat dijawab dengan tepat oleh mana-mana murid, sayalah jadi mangsa seterusnya untuk disoal. Kalau membaca paragraph dalam buku pun saya selalu disuruhnya, yang ini tidak mengapalah sebab saya memang suka dan bersedia bila-bila masa sahaja. Cikgu Zalehah ini sebenarnya adik-beradik dengan seorang sahabat bapa saya di pejabat iaitu Aunty Hateefah. Itu yang saya suspen sebenarnya, apa-apa cerita tentang saya, Cikgu Zalehah akan story dengan Aunty Hateefah dan beliau akan report dengan Abah saya. Alamak!
Cikgu Zalehah ini memang stailo orangnya, macam datin-datin dressing dia. Masuk ke kelas saja, dia akan letak beg tangan dia atas meja guru betul-betul di hadapan mata saya. Selalunya beg dia bersaiz besar, saya selalu fikir kot-kot ada senapang di dalamnya. Beg dan kasut dia pula sedondon dan baju-baju kurung dan kurung moden beliau memang cantik-cantik dan ada kelas, rambut disisir rapi siap dengan anting-anting dan rantai yang berpasangan. Orangnya kecil molek dan bercakap penuh gaya.
Ada juga seorang lagi guru wanita yang sudah agar berumur orangnya sentiasa bersiput rambut dan berbaju Melayu Johor. Yang paling saya ingat tentang beliau adalah, ketika beliau belanja aiskrim. Itu sebenarnya upah kerana memberikan kerjasama ketika ada guru pelawat datang untuk melihat beliau mengajar.
Semasa di dalam kelas darjah enam kuning ini saya duduk di sebelah seorang murid bernama Noreeda. Sebenarnya ada cerita di belakang tabir. Seorang guru pernah slowtalk dan minta kerjasama saya agar memberi bantuan tunjuk ajar padanya bagi beberapa subjek yang dia lemah dan minta saya berkawan dengannya. Dengan berat hati saya pun melakukannya. Saya sebenarnya lebih suka bersendirian dalam dunia saya sendiri, tidak berapa gemar bersahabat baik kerana saya suka bebas. Bebas untuk bergerak mengikut rentak saya tanpa perlu menunggu sesiapa dan bebas daripada memerlukan approval daripada mana-mana rakan. Tetapi tidak mengapalah, sempat juga saya memberi sedikit tunjuk ajar subjek-subjek seperti matematik dan Bahasa Inggeris. Kadang-kadang masa rehat dia ajak saya bersama ke kantin, saya memang malas sebab Mak saya selalunya ada menyediakan bekal nasi dengan lauk hati lembu masak kicap yang sedap kegemaran saya. Beria-ia dia mengajak, ingin belanja katanya. Banyak duit sekolah yang dibawanya, kadang-kadang nampak ada lima ringgit di dalam purse. Saya pada masa itu paling banyak pun bawa seringgit sahaja. Dia belanja saya di kantin. Terpaksa terima.
("Tu lah teacher ni, aku kecik-kecik lagi kau dah suruh aku jadi konsultan la, cikgu tuition la. Urgh." - berkata di dalam hati dan minda pada ketika itu.)
Saya berasa
sangat bertuah kerana telah mendapat guru-guru yang sangat bagus semasa di
Sekolah Rendah Jalan Yahya Awal. Walaupun kami merupakan batch pertama pelajar
di Malaysia yang menjalani pembelajaran sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia,
guru-guru kami masih lagi daripada era guru-guru yang sebelumnya mengajar
sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, jadi penyampaian pengajaran subjek Bahasa
Inggeris kepada kami masih terbaik dan memastikan kami dapat menguasai Bahasa
Inggeris dengan agak baik juga. Terima kasih kepada guru-guru yang menjadikan
pembelajaran di sekolah ini sungguh menarik dengan kaedah-kaedah yang kreatif
sekali tanpa menjejaskan isi kandungan matapelajaran yang diajarkan.
Sekolah Rendah Perempuan Jalan Yahya Awal,
Johor Bahru.
Gambar terkini, kredit kepada blog SRPYA.
Margaret Eleanor Atwood, is a Canadian poet, novelist,
literary critic, essayist, and environmental activist. - Wikipedia