Pages

Sunday, February 17, 2013

Rumah Bukit Cagar

Entri ini sebagai sambungan dari post yang lepas, tentang rumah saya di Bukit Cagar yang mempunyai pokok durian belanda dan pokok bunga kertas tiga warna itu.

Ini rumah kerajaan pertama yang saya sekeluarga duduk semasa di Johor Bahru. Sebelum ini Abah saya menyewa rumah teres di Jalan Larkin Bomba. Saya sekeluarga berpindah ke rumah ini semasa saya dalam tingkatan dua. Apabila nama Abah saya naik setelah lama menyenaraikan diri untuk mendapatkan rumah kerajaan, berpindahlah kami sekeluarga bersama dua ekor anak kucing yang kami bawa dari rumah lama iaitu Putih dan Tiger.

Rumah Apple Green
Macam-macam kenangan di rumah Bukit Chagar ini. Rumah kami rumah semi-d (berkembar dua) dan split level iaitu terdiri daripada dua aras, diperbuat daripada papan hampir keseluruhannya kecuali dapur, bilik kecil, bilik mandi dan tandas di aras bawah yang separuh batu. Ada courtyard di tengah-tengah, oleh itu rumah ini sangat berangin dan sejuk. Aras atas agak luas, ada living, dining dan study area, dengan dua bilik tidur. Semasa baru pindah masuk, rumah ini tersangatlah buruknya, cat dinding semuanya dah menggelupas. Selang beberapa bulan duduk saja, datang kontraktor mengecat, katanya dibayar kerajaan dan telah sampai giliran untuk dicat semula semua rumah kuarters di situ. We were so lucky, kan! Yang lagi best, apek kontraktor siap bagi permission kat Mak saya untuk memilih warna. My Mum being the vibrant lady with taste, chose a combination of apple green and light green! Bila dah siap, punyalah cantik dan berseri, sampai ada rumah lain pun mintak warna yang sama. Oleh kerana pada masa itu kamera hapa pun takda, phonecam dan digicam jauh panggang dari api, maka saya lukiskan apa yang saya ingat tentang rumah yang terletak di Jalan Tengku Azizah, Bukit Chagar, Johor Bahru ini.

Bear with me.
This is just an off-hand sketch, not to scale. No eraser and ruler was used in this 'contengan'; only pencil, some colored pencils I found lying around and fond memories of the house I once lived 36 years ago
.

Princess Leia
Selepas menamatkan tingkatan dua di sesi petang, saya mula ke sesi pagi persekolahan tingkatan tiga di sekolah yang sama. Sekolah sebenarnya agak lebih jauh dari rumah yang lama. Van sekolah pun terpaksa tukar, daripada naik van Muhid, bertukar ke van Nyonya yang rumahnya dekat sahaja dengan rumah saya. Tapi dek kerana rumah driver dekat sangat, maka saya pun jadi yang pertama diambil, mak oii..pukul lima pagi dah bangun, tepat jam enam pagi Nyonya dah sampai, ikutlah nyonya round satu dunia ambil budak-budak sebelum dihantar ke sekolah. Kalau balik pulak, sayalah yang terakhir dihantar pulang, sampai naik mengantuk dibuatnya. Masa bangun subuh-subuh buta tu pulak, selalu berebut dengan adik saya nak mandi dulu, sebab saya ni perlukan masa yang agak panjang untuk bersiap. Almaklumlah, rambut kerinting susah sikit nak dikemaskan, tiap-tiap hari kena tukar fesyen, sama ada ikat satu pony tail, ikat dua stail Princess Leia Star Wars, siput tinggi atau bertochang. Yang penting kena tarik tegang-tegang sampai straight, sebab perasan kalau curly macam tak kemas.

Pembinaan Flat Bukit Chagar
Di rumah ini jugaklah saya kena berjuang melawan emosi agar kekal tenang, cool dan terus fokus. Nak tau sebab apa? Sebab pada tahun 1978 itu saya perlu menduduki peperiksaan SRP, pada tahun itu juga Abah saya diserang heart attack buat pertama kali, dan di waktu yang sama piling work (kerja menanam cerucuk untuk pembinaan bangunan tinggi) sedang dilakukan dengan bisingnya betul-betul di hadapan rumah saya untuk pembinaan Flat Bukit Chagar. Bayangkan mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang sungguh bising, kedempang kedempung bunyi piling.

Di tapak pembinaan itu kucing saya Putih mati terjatuh ke dalam lubang piling yang dipenuhi air. Putih kucing betina yang suka merayau-rayau. Suatu senja Putih tidak pulang. Apabila dicari, Putih ditemui terapung di dalam lubang piling. Sedih sangat, tinggallah Tiger seekor, setiap malam menyelit tidur di ketiak saya, depan muka atau hujung kaki. Tiger sebenarnya kepunyaan adik lelaki, tetapi kalau nak tidur mesti parking kat katil saya. Sayang sangat tiger, Tiger sempat dibawa pindah ke rumah seterusnya.

Ada lagi satu kes jatuh ke dalam lubang piling. Yang ini memang amat menyayat hati. Ada anak Cina yang tinggal di rumah setinggan di hujung jalan rumah kami, telah bermain-main petang di tapak pembinaan. Dia tidak bernasib baik, jatuh tergelincir ke dalam lubang piling yang penuh air, lantas lemas. Apabila dia tidak pulang, pencarian dilakukan dan dia dijumpai terapung di dalam lubang piling. Kasihan sungguh. Ayah adik tersebut bekerja tanam sayur di sekeliling rumah. Dia terpaksa pergi dari rumah ke rumah di kawasan kuarters kerajaan itu untuk minta derma bagi upacara pengkebumian anaknya. Susah betul hidup mereka. Air ambil dari perigi yang digali sendiri. Tapi saya suka sangat ikut Mak saya pergi ke rumah setinggan Cina itu untuk beli sayur segar dan ubi kayu. Rasa macam thrilling pulak tengok kehidupan mereka yang ala-ala Little House On The Prairie itu. Sebenarnya anak gadis keluarga Cina itu satu kelas dengan saya semasa di tingkatan satu. Tapi akhirnya berhenti sekolah kerana kemiskinan. Masih saya ingat semasa satu kelas dengan Yit Meng, kalau Cikgu suruh baca, terketar-ketar suara dia membaca dengan begitu perlahan sekali. Lihatlah bagaimana kemiskinan dan serba kekurangan boleh memunahkan rasa yakin diri seseorang. Saya sungguh simpati. Saya beritahu Mak. Bila Mak tahu dia dah berhenti sekolah kemudiannya, Mak saya susah payah masukkan dia kerja kilang di Singapura. Seronok sungguh dia, gaji lumayan, siap ada bas kilang ambil dan hantar pulang di depan rumah. Setidak-tidaknya dapatlah dia bantu keluarga. Sejak itu, saya selalu lihat Yit Meng tersenyum manis. Terima kasih Mak kerana tolong kawan saya. Mak memang The Best.


Piling yang bising-bising di hadapan rumah saya tu untuk membina Flat Bukit Chagar ini lah. Flat ini mula didiami pada 1983.Ia kemudiannya dirobohkan pada 2008 bagi memberi laluan kepada projek pembinaan CIQ, yang sebenarnya terletak agak jauh jugak tetapi masih dalam kawasan yang sama. Lebih tepatnya, tapak flat ini adalah untuk stesen MRT, yang sehingga kini masih belum dilaksanakan lagi..


Ini CIQ Complex di Bukit Chagar; iaitu Customs, Immigration and Quarantine Complex.

Heart Attack
Abah saya diserang heart attack buat kali pertama, secara tiba-tiba dan tanpa disangka-sangka. Mula-mula dia kata badan dia rasa tak sedap, baring saja di katil ditemani Mak. Lepas tu badan dia berpeluh-peluh, tapi bila dipegang rasa sejuk. Agaknya itulah yang diperibahasakan sebagai peluh dingin. Kemudiannya muntah berulang kali. Mak tadah dengan periuk. Abah saya panggil saya dan adik saya agar sama-sama duduk di atas katil menemaninya, katanya kalau dia mati pun dia puas hati kerana kami ada di sekelilingnya. Tapi pada ketika itu Allah masih belum mahu lagi mengambil Abah saya, ajalnya belum tiba. Apabila dia mula mengerang sakit dada, seperti ada kapal menghentam di dada katanya menggambarkan kesakitan yang dialami, pakcik saya Archer yang ketika itu tinggal bersama kami berlari ke kedai Cina di hujung jalan, untuk tumpang guna telefon memanggil ambulans. Pakcik saya ni gagap orangnya, dengan segala susah payah untuk berkata-kata, dia cuba mendapatkan bantuan. Setelah diberitahu tiada ambulans yang sedia untuk dihantar ke rumah saya, pakcik saya terus telefon kawannya di Larkin yang merupakan anak pemandu van sekolah. Sahabat-sahabat pakcik saya bergegas datang dan Abah saya pun dibawa ke hospital dengan van sekolah!

Abah dimasukkan ke ICU dan kemudiannya ada telegram dihantar ke rumah menyatakan Abah saya 70% kritikal dan semua saudara terdekat diminta datang. Saya dan adik dibawa ke ICU, dari cermin kaca telus bilik itu saya lihat Abah saya terbaring berselirat dengan wayar dan hanya Mak saya dibenarkan masuk ke dalam bilik. Saudara-mara telah ramai menunggu di luar, ada yang siap dengan songkok. Apapun Abah saya survived episod ini. Alhamdulillah. Abah kemudiannya diberikan cuti sakit yang panjang untuk berehat di rumah. Dia jadi peneman setia saya mengulangkaji pelajaran. Dalam kebisingan bunyi piling kami cuba cari ketenangan. Saya jadi bersemangat kerana Abah ada di sisi sepanjang saya mengulangkaji. Bagai orang naik seh, saya buat latihan demi latihan matematik, dan akhirnya mendapat A1 dan markah penuh 100% bagi matapelajaran itu dalam SRP. Objektif daa..

Kena Rompak
Satu lagi kenangan di rumah Bukit Chagar ini adalah apabila rumah kami dirompak dan berlaku kecurian semuanya sebanyak 13 kali. Mistik sungguh nombor itu kan. Kali pertama rumah dirompak semasa kami sekeluarga pergi menonton wayang cerita Serpico lakonan Al-Pacino.

Sampai bila-bila pun saya tak boleh lupa peristiwa ini. Sebaik kami pulang dari menonton, Abah dapati pintu rumah tidak berkunci. Apabila masuk ke dalam didapati rumah berselerak, habis digeledah. Air ludah bertepek sana sini, ini mesti jenis bangsa yang suka mengamal ilmu hitam ni, meludah katanya bagai syarat masuk rumah orang. Cheh.

Barang-barang yang hilang termasuk radio kaset Abah saya yang baru dibeli. Kesian Abah. Hilang barang untuk buat hobi dia. Abah saya ni suka merakam perbualan orang tanpa disedari. Dia selalunya akan on tape recorder itu senyap-senyap, then started to throw some questions, asked our opinions, provoked us to debate on some matters, in between he will make some jokes, until we laughed with tears in our eyes. Later he will rewind the tape and put it on for us to hear our own voices. Kami akan gelak lagi macam nak pecah perut. Jadi perompak tu dah potong stim Abah sayalah nampaknya.

Kurang ajor punya perompak. Rupa-rupanya siap masuk ke bilik saya dan angkut saya punya Miss Texwood jeans yang baru dibeli di Singapore. Brand ni masa tu sikit punya top meletop la. Baru pakai sekali tau. Nasib baik sempat bergambar dengan jeans tersebut. Bodoh punya pencuri, orang belum sempat basuh pun. Ciss.

Inilah gambar saya memakai Miss Texwood jeans yang kena curi itu.
Saya yang kanan sekali berblaus merah dan seluar jeans yang dapat pakai sekali sahaja itu. Mak saya di kiri gambar, berblaus pink
.

Semasa kes dirompak kali pertama ini, polis siap datang melakukan siasatan, dapatlah ambil sampel cap jari dan air ludah. Kemudian rumah kami terus-terusan di masuki pencuri sehingga 13 kali semuanya. Habis barang kemas Mak saya, barangan pinggan-mangkuk dan periuk belanga pun dicurinya. Pernah sekali papan di tepi katil di mana saya sedang tidur lenyak, dikopek dan pencuri itu sempat berjalan ke bilik Mak saya dan menggeledah almari serta membawa lari subang Mak. Nasib baik saya tidak diapa-apakan. Pada masa itu Mak saya berada di dapur di aras bawah. Saya pula baru balik tuisyen, kepenatan lantas tertidor. Nasib baik saya tidur lenyak di dalam kelambu walaupun di siang hari, Alhamdulillah selamat.

Lama kelamaan kami sudah maklum bahawa semua kecurian selepas rompakan pertama itu adalah usaha gigih mat gian. Abah dan orang kampung pun mula menjalankan rondaan di malam hari. Pernah sekali terserempak dengan mat gian sedang memanjat dinding courtyard di rumah saya. Apalagi dia pun ditangkap dan dibelasah dulu cukup-cukup. Hmmm..nasib baik tak mati. Asal ada aje bunyi mat gian ditangkap kedengaran, kebanyakan penduduk lelaki akan keluar untuk tumpang sekaki meletuk si mangsa tangkapan. Kemudian baru dipanggil polis. Mana mereka tak geram, hampir semua rumah kuarters di situ pernah dipecah masuk. Ada sorang jejaka bujang, pernah kehilangan sampai sembilan helai seluar jeans. Itu yang dia tak mau lepas peluang meletak penumbuk sebijik kat muka MG tu.

Hahaha begitulah kisah tinggal di kuarters kerajaan Bukit Chagar, banyak lagi cerita, kalau rajin akan disambung dalam entri berikut. Kalau malas, kenalah..TUNGGU...