*Kamaliah Mohd Said (Tok Andak) Al-Fatihah*
Tok Andak adalah ibu saudara kepada ibu saya, adik kepada nenek saya (Tok Mak) sebelah ibu. Baru-baru ini pada 02 Januari 2011, Tok Andak telah meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Al-Fatihah. Agak terkilan jugak kerana tidak dapat menghadirkan diri ke pengkebumiannya. Walaubagaimanapun, masih jelas di ingatan ini beberapa kenangan bersama semasa beliau masih sihat.
Semasa saya baru memulakan penghidupan di Kuala Lumpur, saya pernah tinggal berjiran dengan Tok Andak. Pada masa itu, saya baru saja lulus universiti dan mendapat pekerjaan sebagai pelatih di sebuah organisasi dengan elaun sebanyak RM 450.00 sahaja sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu, saya terpaksa menumpang di rumah ibu saudara sepupu, iaitu sepupu kepada ibu saya, dan anak kepada Tok Andak, Aunty Mah. Aunty Mah menyewa di sebuah kampung di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini..ironi sungguh bunyinya sebuah kampung di tengah bandar. Jika anda pernah berhijrah dari mana-mana negeri lain di Malaysia ini ke Kuala Lumpur, untuk memulakan pekerjaan atau mencari pekerjaan, anda pasti faham maksud saya ini.
Saya dan Aunty Mah mendiami rumah sewa atas tanah (maknanya tidak bertiang), separuh batu separuh papan, sederet dengan rumah sewa yang didiami Tok Andak bersama keluarga seorang lagi anak perempuannya. Rumah sewa yang saya dan Aunty Mah diami ini hanya mempunyai sebuah ruang tamu, sebuah bilik tidur dan sebuah ruang dapur. Tiada bilik mandi dan tandas di dalamnya. Bilik mandi berkelompok (maknanya untuk kegunaan bersama penyewa-penyewa lain, di mana ada empat rumah sewa kesemuanya dalam deretan itu) ada disediakan, dan sebuah tandas untuk kegunaan ramai pula disediakan di halaman rumah. Tok Andak walaubagaimanapun, tidak membenarkan saya mandi di bilik mandi berkelompok itu, kerana katanya sebagai anak dara pada ketika itu, tidak elok untuk saya mandi di luar. Dia suruh saya mandi saja di dalam ruang dapur. Dan itulah yang saya lakukan selama tinggal di rumah sewa itu, mandi dikelilingi periuk belanga, dapur gas, dan almari dapur. Kalau mahu ke tandas pula, saya sanggup menahan sehingga tiba ke pejabat, terus saja ke tandas untuk membuat 'pelaburan'. Hahaha. Kenangan-kenangan seperti ini sangat berharga bagi saya dan pengajaran serta iktibar yang saya dapat dari kesusahan dan kesengsaraan tersebut tidak dapat saya beli dengan wang ringgit. Ia membuatkan saya tersenyum walaupun di saat-saat yang penuh dengan kepayahan. InsyaAllah.
Pada hari Ahad pula, pagi-pagi lagi Tok Andak akan mengetuk pintu rumah kami, dan menyuruh kami bangun. Katanya tidak elok anak dara tidor meninggi hari. Kami pulak memang liat hendak bangun. Dan Tok Andak akan menggendang-gendang di sekeliling rumah kami yang berdinding papan itu. Rasa bengang sangat! Tapi apabila pintu dibuka, rupanya Tok Andak menghantar sedulang Roti Canai buatan sendiri dan kadang-kadang Roti Naik, yang sungguh sedap, tiada tolok bandingannya. Roti Naik buatan Tok Andak paling sedap dalam dunia, nak nak bahagian tepi-tepi roti tu..oohlala! Sungguh baik hati Tok Andak, walaupun mulutnya kecoh sekali di pagi hari.
*gambar roti canai dan roti naik di atas ini hanyalah hiasan sahaja, dan diambil dari Google Images.*
Pernah suatu ketika, tangan saya ditumbuhi beribu-ribu kuman, entah mengapa. Mungkin stress, mungkin persekitaran yang tidak bersih atau mungkin alergi, tapi kedua-dua belah tapak tangan dan jari-jemari saya ditumbuhi kuman iaitu gelembung-gelembung yang berair. Tok Andak telah dengan susah payahnya mengelilingi kampung untuk mencari daun-daun untuk dibuat ubat. Saya pun sudah terlupa jenis-jenis dan nama-nama daun yang digunakannya, menyesal pulak kerana tidak ambil tahu pada ketika itu, terasa rugi pula kini. Daun-daun tersebut ditumbuknya hingga lumat, dan ditepek di kedua tapak tangan dan jari-jari tangan saya. Kelihatan seperti inai dan rasanya sungguh sejuk dan menyamankan sekali. Saya tertidur lena pada malam itu, dan keesokan harinya, tangan saya pulih seperti sedia kala. Tok Andak, really was a 'magician'.
Setelah beberapa bulan menjadi pelatih di organisasi tersebut, saya dipanggil untuk temu duga ke jawatan tetap sebagai pegawai di organisasi yang sama. Hati saya berdebar-debar, dan Tok Andak telah membantu saya sekali lagi. Katanya, "Kau jangan takut, nanti aku bacakan dan mandikan engkau," sambil gelak-gelak mentertawakan saya yang gelabah sikit pada masa itu. Saya ingat dia main-main, rupa-rupanya pada pagi hari saya dijadualkan menghadiri temu duga, Tok Andak memanggil saya dan menyuruh saya mandi di bilik mandi luar. Alamak, saya pun tertanya-tanya tetapi mengikut sahaja arahannya. Di bilik mandi luar itu, Tok Andak memandikan saya dengan sebaldi air yang dibawanya, katanya air itu telah dibaca dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Fuhh sejuk betul kena siram berdebus-debus dengan Tok Andak. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah saya berjaya mengharungi temu duga itu dengan lancar dan jayanya. Kemudiannya, dengan gaji pertama sebagai pegawai, saya terus mendapatkan sebuah rumah sewa yang baru sahaja siap dibina, dengan sewa RM 300.00 sebulan. Hmm..murah kan, tapi ini dalam tahun 1989 ya, sekarang ni mana dapat. Rumah teres tiga tingkat itu mempunyai tiga buah bilik tidur serta dua buah bilik air. Kehidupan saya pun menjadi lebih selesa sebagaimana yang saya idam-idamkan.
Semasa saya di zaman kanak-kanak pun ada kenangan bersama Tok Andak. Mana yang saya ingat sikit-sikit, emak akan menceritakan semula kepada saya. Pernah semasa keluarga saya tinggal di Mersing, Tok Andak mengikut kami kembali semula ke Mersing setelah ibu dan saya bercuti di Johor Bahru. Kami bertolak dengan bas ke Mersing. Dalam perjalanan, bas singgah di stesen bas Kota Tinggi. Penumpang-penumpang pun turun untuk membeli makanan dan minuman ataupun pergi ke tandas. Tok Andak dengan beg tangan besarnya, mengajak saya turun untuk membeli jajan. Bermacam-macam coklat dan gula-gula ditawarkan kepada saya, tapi semuanya saya tak hendak. Poyo jugak saya ni, kecik-kecik pun dah pandai memilih. Menurut cerita ibu saya, Tok Andak kemudiannya bertanya kepada ibu saya, "Buntat, kenapa budak ni aku nak belikan semua benda dia tak hendak?" Tiba-tiba saya menyampuk, "Tok Andak tu..taknak belikan SINTEET !!" Tok Andak tanya, "Hah? Apa benda SINTEET tu Buntat?" Jawab Mak, "Oh..dia nak cokelat TREETS la Mak Andak! Hahaha!" Jawab Tok Andak sambil terkekeh-kekeh gelakkan saya, "Laa..manalah Tok tau..cakap Sinteet, Sinteet..heheheh!" Sejak itu, asal jumpa saya saja, Tok Andak akan usik-usik saya, "Nak Sinteet? heheheh!"
*gambar coklat Treets kegemaran saya di zaman kanak-kanak, ala-ala M&M peanuts di zaman ini, diambil daripada Google Images*
Satu lagi kisah bersama Tok Andak di zaman kanak-kanak saya adalah tentang Sabun Cap Kapak. Pada suatu hari saya dibawa ibu ke rumah Tok Andak di Kampung Melayu, Johor Bahru. Setelah beberapa lama mendangok (maknanya budak kecil yang duduk mendengar orang dewasa berbual) Tok Andak dan ibu saya berbual, saya berasa hendak ke tandas untuk membuang air kecil. Tok Andak pun membawa saya turun ke bawah dan ke tandas yang baru sahaja dibinanya. Seperti biasa, mulut Tok Andak akan terus pot-pet pot-pet bercerita. Setelah saya selesai membuang air kecil, Tok Andak sibuk hendak mencebukkan (maknanya menyiram dengan air untuk membersihkan) saya, tetapi oleh kerana sibuk bercakap, Tok Andak tersalah sangka, beliau ingat saya membuang air besar, beliau pun mencebukkan saya, kemudian mengambil seketul sabun cap kapak yang berwarna hijau, menenyeh-nenyehkan sabun tersebut di tangannya untuk mengeluarkan buih yang banyak, dan menyental buih sabun cap kapak itu di bontot saya. Adoi seperti terasa kepedihannya hingga kini. Saya berteriak, "Mak! Mak! Tok Andak ni sabun guna sabun cap kapak yang buat basuh baju tu, pedih!" Dan Tok Andak pun terus berdekah-dekah mentertawakan saya. Selepas itu, kalau Mak bawa pergi rumah Tok Andak lagi, sanggup tahan kencing tau! Hahahaha..kelakar dan suka kenakan orang tau Tok Andak ni.
*sabun Cap Kapak ini berbentuk ketul, berwarna hijau tua, gambar diambil daripada Google Images*
Begitulah serba sedikit kenangan terindah bersama Tok Andak yang dapat diabadikan di sini.
*gambar di atas, saya di zaman kanak-kanak, di hadapan rumah Tok Andak*
Tuesday, February 8, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)