Pages

Friday, April 16, 2010

Mistik Tok Mat II

Mersing - Suatu Ketika Dahulu, semasa saya berusia satu hingga lima tahun..


Sebenarnya Tok Mat pernah juga menolong ayah sebelum peristiwa kaki saya cedera tersebut. Kali pertama Tok Mat membantu ayah adalah ketika ayah baru sahaja berkenalan dengan beliau. Kami sekeluarga baru sekali sahaja bertandang ke rumah Tok Mat. Pada ketika itu saya demam panas. Mungkin kerana saya masih kecil dan kerap berjalan jauh bersama ibu dan ayah iaitu pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, dan selalu pula mengikut mereka berdua berjalan di malam hari ke funfair, saya keletihan dan terkena demam dengan suhu yang agak tinggi juga.

Saya telah meracau-racau, dan mula sawan hingga anak mata tidak kelihatan dan bibir terkatup rapat. Ibu saya telah melakukan sesuatu yang mungkin menyelamatkan nyawa saya iaitu menyelitkan sudu di celah bibir saya dan membolehkan udara masuk melalui rongga mulut saya, lantas sawan pun berkurangan tetapi saya seolah-olah tidak sedarkan diri. Ayah mulai panik dan mengangkat saya di dalam kendongannya lantas berjalan keluar bersendirian menuju ke jalan besar. Ayah telah menahan kereta yang lalu, dan meminta bantuan untuk menghantar kami ke klinik yang terdekat. Tiba-tiba di pertengahan jalan, ayah telah berubah fikiran dan meminta pemandu tersebut membelok dan menghantar kami ke rumah Tok Mat, kerana hari masih awal pagi dan klinik tentunya belum dibuka. Setibanya di rumah Tok Mat, beliau sedang memberi ayam makan di luar rumah. Ayah terus menerkamnya dan menyerahkan saya kepada Tok Mat. “Pak Mat, tolong saya, saya tak tahu apa nak buat. Tengoklah anak saya ni..”

Tok Mat pun mengendung saya dan membawa saya agak jauh sedikit dari ayah. Beliau mengeluarkan sesuatu dari koceknya, dipercayai batu permata ‘buntat rimau’ dan melumurkan batu tersebut di mulut saya sambil mulutnya sendiri terkumat-kamit membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Serentak itu saya menangis dan muka pun merah serta bernafas kembali. Saya pulih sepenuhnya, dan jarang demam lagi selepas itu. Kata ayah, dia tidak pernah dan tidak akan percaya dengan pengamal ilmu alternatif lain kecuali Tok Mat.

Tok Mat menjadi keluarga terdekat sepanjang kami di Mersing. Tok Mat sentiasa menyediakan air Milo untuk saya apabila saya berkunjung ke rumahnya. Ketika saya sudah besar dan telah kembali ke Johor Bahru, Tok Mat berangkat menunaikan Haji di Mekah dan beliau telah meninggal dunia serta dikebumikan di sana. Inalillahi wainalillahi rajiun..