Pages

Wednesday, November 9, 2011

Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan - Bahagian IV (Akhir)

Secara keseluruhan, kehidupan di STAR selama setahun mulai pertengahan 1981 hingga pertengahan 1982, amatlah menggembirakan dan banyak membawa impak positif dalam kehidupanku. Bayangkan betapa bertuahnya mereka yang tinggal dan belajar di situ sejak tingkatan satu hingga tingkatan lima, andai tidak digunakan segala apa yang disediakan dan mengambil setiap peluang yang terbentang, memang rugi sekali.

Wayang Free

Sebulan sekali, kami akan dihidangkan dengan wayang percuma yang ditayangkan di dewan sekolah, di malam hari. Jika hari wayang percuma, tidak payah ke prep malamlah jawabnya. Selalunya kami para pelajar perempuan ditempatkan di belakang sekali. Para pelajar lelaki di hadapan pula sentiasa membuat bising semasa menonton, banyak betul extra sound effects. Bayangkan kalau kami pelajar perempuan ditempatkan di hadapan, porak peranda dunia. Aku tidak dapat mengingati satupun tajuk filem yang pernah ditayangkan di STAR, sebab selalunya tidak kuhiraukan sangat filem yang ditayangkan, lebih baik berbual dengan rakan-rakan perempuan ataupun setidak-tidaknya duduk diam dan berangan. Haa..kalau filem yang ditonton bersama Lan di panggung wayang ketika kami outing tentulah aku ingat, antaranya The Gods Must Be Crazy (1980) dan Clash of the Titans (1981). Eh! Baru kuperasan, semuanya cerita gila-gila dan fantasi..ngapain kau Lan? hahaha..




Debate

Di STAR juga buat pertama kalinya aku terpaksa menyertai bahas dalam Bahasa Inggeris. Bukan hendak dan berminat sangat tapi kerna terpaksa. Bayangkan setiap pelajar dalam kelas kami diwajibkan menyertai perbahasan, tiga orang setiap kumpulan, dan kesemua pelajar dalam kelas dimestikan berbahas satu round. Adoi mak..sudahlah dalam Bahasa Inggeris, kena pulak bercakap di depan orang ramai, mengeluarkan fakta-fakta dan menepis hujah-hujah pihak lawan. Oh cukuplah hanya sekali! Tetapi yang sekali itu rupa-rupanya tidak berhenti di situ sahaja, kemudian apabila di kursus ijazah di USM, aku dan teman sekursus seringkali diperlukan membuat presentation setiap minggu bagi menerangkan projek-projek studio yang kami kendalikan. Seterusnya apabila berkecimpung di alam pekerjaan, lagi banyak presentation dan debate yang perlu dilalui, dan semua ini memerlukan skil komunikasi, presentation, influencing dan convincing yang jitu. Jadi adik-adik dan anak-anak semua, yang masih di alam persekolahan dan pembelajaran, jangan sia-siakan setiap peluang yang diberikan kepada anda, cikgu suruh bukan suka-suka ya, ada guna di kemudian hari semuanya.

Finals of the 38th Prime Minister’s Debate Trophy 2011 - Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Ipoh clinched the trophy in the Bahasa Melayu category.

Ragbi

Kredit Foto : STAR Ipoh FB

Banyak juga perkara yang tidak pernah kulakukan sebelum masuk ke STAR, terpaksa dilakukan apabila di sana. Misalnya perlu menonton perlawanan ragbi. Bayangkan dahulunya semasa di sekolah menengah kami hanya didedahkan dengan sukan bolasepak, takraw, basketball, netball, volleyball, baseball dan hoki.

Bas yang selalu kami naiki untuk pergi menyokong pasukan Cobratasha.

Tetapi apabila di STAR, kami kena tengok ragbilah pulak, siap kena jadi pasukan sorak lagi. Bermacam jenis lagu untuk cheering squad diajarkan kepada kami pelajar perempuan. Lepas itu, kami akan dibawa dengan bas sekolah ke mana ada perlawanan ragbi yang disertai oleh pasukan STAR. Ada pulak cheerleadernya yang mengepalai sorakan yang perlu kami lakukan. Mula-mula malu dan rasa pelik. Tetapi lama-kelamaan, rasa seronok menjelang tiba dan semangat cintakan pasukan ragbi sekolah pun mula bersemi. Kami jadi penuh perasaan memberi sokongan, dan apabila kami mula memahami cara permainan ragbi, kami pun mula meminatinya. Pasukan ragbi STAR menggunakan nama Cobratasha. Di antara lagu-lagu sorakan /cheer songs boleh didapati di sini Cobra Tasha, Cobra Tasha, Sinar, Sinar, STAR, hoii !!

Dari pemerhatianku selama setahun di STAR, musuh tradisi STAR yang menjadi persaingan sihat dan sengit dalam apa jua bidang terutamanya pencapaian, ragbi dan perbahasan adalah MCKK. Untuk maklumat lanjut tentang STAR dan pencapaian mereka boleh layari laman berikut ini. Blog Cikgu STAR dan Wiki STAR



All Blacks

Hantu Ragbi

Cerita pasal ragbi di STAR ini, teringat pulak pada satu cerita seram yang ada kaitan dengan permainan ragbi. Tidak kutahu betul atau tidak. Mungkin sekadar urban legend. Katanya, kalau kita merentas padang di STAR, di malam hari, kalau nasib tidak baik, ada orang langgar, seolah-olah macam ada orang main ragbi di dalam kepekatan malam. Kalau hendak selamat, jangan lalu padang, lalulah ikut jalan koridor, iaitu jauh sedikit. Satu lagi ada yang cerita, kononnya bilik seorang guru warden pernah diketuk di tengah-tengah malam, dan apabila dia membuka pintu ada pelajar meminta segelas air, tetapi amat mengerikan kerna muka dia kelihatan pecah-pecah. Alamak..seramnya. Kononnya, ada seorang pelajar yang menjadi pemain ragbi, telah meninggal dunia di padang STAR suatu ketika dahulu. Hmm..entahlah, mungkin budak-budak STAR sengaja cerita untuk menakutkan kami pelajar perempuan atau mungkin juga ada kebenarannya.

Sukan Sekolah
Kebetulan semasa tahun aku memasuki STAR, mereka mengadakan Kejohanan Olahraga ke 25, dengan agak meriah jugak. Aku sekadar jadi penonton dan penyorak. Sempat jugaklah melihat bagaimana Din Kuda, Khalis dan Lan berlari. Mereka bertiga ini agak jadi tumpuan pelajar perempuan mungkin kerana mereka ini ketiga-tiganya putih melepak dan tinggi belaka orangnya. Mana yang hitam manis itu jangan pula jauh hati, hitam itu menawan dan seksi okay! Din Kuda kalau lari memang macam kuda pun, bukan saja-saja orang bagi dia gelaran itu. Masih kuingat lagi, semasa aku dan beberapa pelajar perempuan duduk di atas rumput di tepi padang ketika acara lumba lari, Ann sibuk menyuruhku melihat Din berlari. "Tengok tu Fara, Din lari..memang macam kuda!" Aku perasan jugak yang Din lari siap dengan kepala dia sekali terhangguk-hangguk. Ish..dia memang ada stail tersendirilah! Lepastu nanti, muka dia mesti merah padam. Haa..itulah Din Kuda. Kalau Lan pulak yang lari, rasa jantungku bagai nak gugur. Bila Khalis lari, kami risau, sebab masa itu, Khalis kurus sekeping, macam melayang-layang dia lari, tapi langkah dia memang panjang. Jauh perjalanan Khalis sekarang, dan dah jadi macholah pulak. Begitu jugak dengan Din yang sudah jadi Resident Architect dan Lan yang sudah bergelar Profesor Madya, dan begitu passionate dengan kerjanya. "Fara, I just want to teach." kata Lan dalam satu perjumpaan dengannya setelah 28 tahun berlalu. Syukur Alhamdulillah. I`m so happy for you guys!

Cerita lain tentang sukan di STAR memang aku tidak ingat langsung, kecuali kisah tiga budak handsome masuk lumba lari ini, dan kisah tengok ragbi.

Exam

Aah..cerita pasal exam ini yang kurang best. Kami para pelajar Matrik kebanyakannya tension. Berbeza dengan budak-budak STAR, mana yang ambil SPM misalnya, dia orang kebanyakannya relax sahaja, sebab kelulusan dia orang selalunya seratus-peratus dan kesemuanya hampir pasti akan ke luar negara. Beruntung sungguh mereka kan. Tapi mereka rajin, bila masa prep selalu nampak mereka study, terutamanya apabila dekat hendak exam, di luar waktu prep pun mereka study. Kami pelajar Matrik pada masa itu, ada jugak terfikir, kalau keputusan kami kurang baik, dapatkah kami meneruskan ke Matrik II dan seterusnya ke kursus ijazah? Ish..ngeri jugak bila perkara tersebut melintas di benak fikiran. Tidak mengapalah. Usaha tangga kejayaan. Cinta tiang rumahtangga? Cukup ke?

Lesson in Love 101

Apabila tension menjelang exam semakin ke kemuncaknya, jiwa-jiwa yang parah bercinta menjadi kian rapuh. Al-kisahnya begini. Semasa aku pulang bercuti semester di kampung, Lan sering menghantar surat cinta. Surat-suratnya tebal-tebal belaka, dan kerap pula. Abahku jadi gusar, dan mula bertanya, siapa, mengapa, dan apa perlu aku menjalin hubungan cinta.

"Tak, Abah. Kawan aje. Dont worry, orang akan focus pada study. Tak akan main-main, takut nanti apa-apa kena buang USM, taknak."

Padahal dalam hati, aduhai kalau aku diajak Lan kawin lari, mahu sahaja kuturut rasanya. I was so fragile, luckily he was rational enough not to do that. Tapi itu dalam hati. Dalam otak lain pulak fikirnya. Aku mula memikirkan apa akan jadi kalau aku turut kata hati, dan gagal meneruskan pengajian, sama ada sengaja atau tidak sengaja? Oh that will never happen, education is everything to me. I want to be able to have my own financial independence later on. Aku pulang semula ke STAR selepas cuti semester dengan hati yang berbelah-bagi.

Aku cuba bagi tahu Lan, "Lan, I think we better cool-off la. SPM dah dekat. You better concentrate. I risau ni, kalau apa-apa jadi, nanti kalau you tak dapat pegi oversea macam mana?"

Dia kata, "No way, that is not gonna happen. Please, you nak tengok lelaki menangis ke?"

Dalam hatiku, "Ya Allah! Kepala hotak aku dah macam nak pecah ni. Kenapalah kau tak faham! Aku risaukan exam aku, aku risau bapak aku dah mula curiga dengan aku, aku risau takut kau tak score, aku risau pasal aku sayang sangat kat kau, aku risau, risau, risaulah!!"

Last-last, "Okaylah, jom, weekends ni kita keluar eh."
(Tak sanggup aku tengok lelaki menangis.)

.........................................................
Lesson #1 : Jangan mudah terpedaya dengan ayat power lelaki. Takda mananya dia nak nangis. Kalau nangis pun, crocodile tears kot. Pi rahh..
.........................................................

Kami tidak jadi break. Bila masuk study week untuk persediaan menghadapi peperiksaan, kami jarang berjumpa, masing-masing sibuk hendak exam. Lan lagilah, SPM menjelang tiba.

Tiba-tiba, datang seorang pengawas perempuan menghulurkan surat, "Fara, nah Roslan punya surat. Nanti tolong bagi kat dia. I tak jumpa dia."

"Ermm..okay. I try." Aku agak keberatan untuk menerima tugas itu.

"Fara, surat tu dah memang terbukak sikit tau.."

Setelah kubelek, eh memang dah terbuka pun. Simpan dulu.

Hati mula tertanya-tanya, surat dari Kelantan. Hmmm..siapa eh. Setahuku, Lan tiada saudara-mara di sana. OK, buka sahaja, lagipun memang sudah terbuka. OH OH OH! It was from a girl! Nama yang agak terkenal, seorang atlit dari pantai timur. Menggigil tanganku, kerling sekali imbas sahaja sudah kufaham si gadis ada menaruh hati pada arjunaku. Eh eh..dari gaya penulisan seolah-olah sudah mesra, pernah berjumpa, ada berhubungan dan saling merindui. WHAT THE HELL? So all this while, what was he doing with me? Playing games? Huh?

...........................................................
Lesson #2 : Jangan percaya 100%. Simpan 25% untuk diri sendiri. Ada faham..
............................................................

Okay. Tulis surat, enclosed surat durjana itu sekali, panggil adik form one dari blok sebelah, suruh hantar pada Lan. Hambik kau. I want BREAK. Petang itu jugak dapat surat balasan, biasa..tebal giler. Merayu-rayu tidak mahu break. Explain macam nak giler pasal perempuan durjana itu. Menyampahnya.

“Fara, if you leave me, I promise, I will never ever marry anyone else, until you are married. I will wait for you.”

............................................................
Lesson #3 : Janganlah termakan dengan janji-janji yang sebegini, atau yang sespesis dengannya. Takda maknanya. Mereka nak trap je, jangan nak feeling sesangat ya dik non..
.............................................................

Hmm..tergugat hatiku yang lembik, bukan macam kerak nasi lagi, dah macam bubur (masa tu lah.) Kesiannya sayang aku ni. Okaylah, tulis surat lagi.

“I apologise, I am so sorry for my outburst. You are FORGIVEN, I am willing to accept you back.”

(Hancurlah jiwa lu Fara oii..)

(Hey! Cinta pertama hokay..jangan nak mengata, lu ada? Kalau takda, lu diam-diam sana haa..)

.............................................................
Lesson #4 : Jangan berpatah-balik setelah membuat apa-apa keputusan. Fikir betul-betul sebelum membuatnya, kemudian stick to it..
..............................................................

Dapat surat balasan lagi. Tak berapa nak tebal. Dia pulak nak BREAK. Katanya di Subang Jaya, ramai lagi perempuan yang lebih cun dan lebih glamor daripadaku. OHH..rupanya merayu tidak ikhlas, sekadar biar dia yang dumped aku, jangan aku dump dia. Well, WHATEVER! I will take this as a challenge. Lembut-lembut dan sabar-sabar aku pun, once I have made a decision, I will never look back, not even to turn a lil bit. NO, that is so not me. I will MOVE. FORWARD.

.......................................................
Lesson #5 : Jangan berputus asa. Ramai lagi orang dalam dunia ini. Memang tidak sama atau serupa dengan yang satu itu. Apa hendak diherankan, mungkin yang lain lebih baik lagi. Be positive always..
.......................................................

Begitulah berakhirnya Cinta Pertamaku. Saki-baki semester akhir di STAR, kupenuhi dengan menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Ada aku kesah (kata orang sekaranglah), surat cinta Lan takda, Shikin dan Saliah selalu hantar surat padaku. Lagi tebal giler dan macam-macam cerita, siap dengan gambar-gambar lagi. Terima kasih, koranglah sahabat aku sampai bila-bila, walaupun kadang-kadang angin twisterku bertiup kencang, lalu sebentar sahaja sebenarnya, sikit..sikit aje tau..tapi aku sayang korang sangat-sangat. Semoga persahabatan kita kekal hingga akhir hayat.

Kini, dengan Lan pun, aku tidak marah langsung. Malahan rasa kelakarlah pulak. Lan, (I know you are reading this), terima kasihlah kerana beri I pengalaman indah itu, termasuk peristiwa putus cinta ala-ala Nightmare on Elm Street tersebut. Frust giler tau! Tapi itu semualah yang buat I tahu macamana nak survive menempuh kehidupan yang penuh dengan buaya tembaga, buaya darat, biawak hidup, dan pelbagai lagi spesis-spesis kurang bermakna, tidak kira jantan atau betina.

Sekian.

Lesson in Love, and Life..bersambung di episod seterusnya,
USM dalam Genggaman.

Kredit Foto : Pishal

Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan I, II, III dan IV untuk semua yang pernah merasa berpisah dengan orang tersayang dan keluarga, demi mengejar cita-cita. Tribute Khas kepada : Para Pelajar Matrikulasi I USM, Sessi 1981/82 STAR, Ipoh, Perak.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tuesday, November 1, 2011

Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan (Bahagian III)

Kredit foto : STAR Ipoh FB

Berbalik cerita di dorm, setiap subuh kami akan saling mengejutkan untuk solat berjemaah di dalam surau kecil di hujung dorm kami. Sebaik dikejutkan, sudah tentu bergegas ke tandas. Selepas bersolat subuh, kami biasanya terus siap berpakaian uniform sekolah dan segera ke Dewan Makan untuk bersarapan. Selepas itu masing-masing akan menuju ke kelas masing-masing dan bermulalah sesi pembelajaran untuk hari tersebut. Menyebut tentang pembelajaran, para pelajar Matrikulasi datang dari segenap pelusuk tanah air, ada yang datang dari sekolah berasrama penuh, tetapi ramai juga yang berasal dari sekolah biasa, ada yang datang dari sekolah jauh nun di daerah sana. Tetapi kebanyakannya bijak dan pintar belaka. Ada beberapa orang yang kalau dilihat pada mata kasar agak pendiam, kurang bercakap, mempunyai skil komunikasi dan Bahasa Inggeris yang agak lemah, tetapi mereka ini sebenarnya genius sungguh dalam subjek Matematik dan Fiziks misalnya. Bayangkan, kalau mereka diterapkan sekali dengan bimbingan cara komunikasi yang betul dan pengajaran Bahasa Inggeris yang mantap, rasanya pasti lebih ramai ahli cendekiawan dan bijak pandai yang berupaya menyampaikan pendapat dan mempunyai skil penyampaian atau pengajaran yang berkesan, dapat dilahirkan oleh negara kita.

Waktu tengahari, kami akan terus ke Dewan Makan untuk makan tengahari dan kemudian berehat seketika di dorm, bersolat dan bersiap sedia semula untuk ke sesi prep iaitu waktu belajar sendiri yang diwajibkan. Haa..selepas waktu prep inilah kami agak lega sedikit kerana mempunyai masa terluang yang agak panjang sehingga maghrib. Biasanya kami akan segera ke Dewan Makan untuk minum petang dan bergegas balik ke dorm untuk aktiviti santai. Ada jugak yang mengambil kesempatan untuk membasuh baju. Perkhidmatan dobi ada disediakan, kalau tidak silap pengumpulan dilakukan seminggu sekali. Biasanya kami hanya menghantar cadar, selimut dan sarung bantal ke cucian dobi tersebut. Selain daripada itu kami basuh sendiri. Pernah suatu ketika semasa sesi perbincangan bersama guru penolong kanan, beliau bertanyakan jika ada apa-apa yang ingin kami suarakan tentang masalah tandas. Salah seorang dari kami bersuara, “Cikgu, kami nak basuh baju susah sikitlah Cikgu. Ruang membasuh tu sempit, sebab kami terpaksa membasuh di singki.” Jawab Encik Adnan (Pluto), “Haa? Awak nak buat apa ruang membasuh besar-besar? Awak nak membasuh ke nak bersilat? Kenapa, tangan awak macam sotong ke, melibas ke kiri ke kanan?” (Kihkihkih. Otak tak center betul la. Berkata dalam hati sahajalah. Gila ke apa hendak cakap kuat-kuat!) Tapi bila balik ke dorm, kami ulang siar dialog dan aksi Pluto itu, sambil gelak-gelak tak hingat punya. Hahaha.

Apabila selesai membasuh baju, kami akan pergi menyidai di tingkat bawah, di hujung blok, di dalam sebuah kawasan yang dipagar kayu dan bermangga di pintu. Hmmm..hendak tahu kenapa, kerana jika tidak dipagar tempat penyidaian pakaian itu, alamat akan bergantunganlah seluar dalam, baju dalam dan kain batik kami di tiang bendera sekolah! Pernah terjadi di awal kedatangan kami ke STAR, baju dalam kami bergantungan di tiang bendera, tidak seorangpun mahu mengaku miliknya. Begitulah kenakalan budak STAR. Malahan setelah tempat penyidaian dipagar dan dimangga pun, ada kalanya, mereka berjaya juga mencuri pakaian kami. Pernah sekali, di tengah-tengah malam, setelah lights off, kami terdengar budak lelaki di blok sebelah iaitu rumah biru, bersorak macam nak rak, kami pun berlari ke tingkap untuk menjengah, rupa-rupanya salah seorang daripada mereka telah dapat mengambil sehelai kain batik, lantas berlari merentas blok kami ala-ala victory run sambil mengibar-ngibarkan kain batik tersebut. Kami pun terus buat-buat tidak tahu kain itu milik siapa, dan menyambung tidur sambil gelak-gelak di dalam kelambu.

Apapun, tinggal bersebelahan dengan blok rumah biru agak menghiburkan jugak, kerna di situ terdapat ramai para pemuzik Band STAR. Bukan ahli band yang menjadi penghibur setelah lights off pun ramai jugak. Mereka selalu mendendangkan lagu-lagu Alleycats dan Ebiet G Ade. Aduh, ada kalanya di saat mendengar bait-bait puitis, ada yang menitiskan airmata, ada yang terlena dibuai kerinduan ke kampung halaman, ada yang menjadi gelisah terus tidak boleh tidur. Tapi merekalah penghibur di saat-saat hati kami sayu pilu di malam hari yang dingin, sepi dan apabila keresahan menguliti diri. Budak-budak STAR inilah yang memperkenalkan kami dengan lagu-lagu Alleycats dan Ebiet G Ade apabila Band mereka selalu memainkannya di konsert-konsert sekolah dan juga apabila mereka membuat persembahan dengan gitar tong dalam kegelapan malam di blok masing-masing. Mungkin kalau pada masa itu sudah ada handphone macam sekarang ini, tentu mereka sibuk ber-sms, bertelefon, dan berinternet serta ber-FB di handphone kan. Pada masa itu mereka sering sahaja menyanyi beramai-ramai, syahdu sungguh. Ramai jugak di antara kami pelajar perempuan yang terpengaruh dengan citarasa muzik budak-budak STAR itu, terus mencari dan mendapatkan kaset-kaset Alleycats (Kucing, 1981) dan Alleycats 4 (1981) serta kaset-kaset Ebiet G Ade siri Camellia I dan II (1979) hingga Camellia III dan IV (1980).
.......................................................
Alleycats




Kredit: Terima kasih kepada Bin Wazir kerana mengajar cara menyusun gambar di blog.

Di antara lagu-lagu yang menjadi kegemaran pada ketika itu adalah seperti Andainya Aku Pergi Dulu, Gerimis Senja, Sekuntum Mawar Merah (daripada album Kucing, 1981) dan Kisah Kau dan Aku, Hingga Akhir Nanti, Seribu Bintang (daripada album Alleycats 4, 1981). Sebelum album Kucing, Alleycats telah mempunyai tiga album sebenarnya, tetapi album Kucing dan Alleycats 4 lah yang tiba-tiba melonjakkan nama mereka dan lagu-lagu daripada kedua-dua album tersebut meletup-letup. Apa tidaknya, lagu-lagu puitis di dalam album-album tersebut kebanyakannya hasil ciptaan dan penulisan M Nasir dan S Amin Shahab. Lagu yang paling popular dan meledakkan kumpulan ini ke persada industri hiburan Malaysia adalah Hingga Akhir Nanti.

Tetapi lagu kegemaranku adalah Gerimis Senja, sementara lagu kegemaran Taufiq aka Topeq (teman sematrik dari Matrik 3) adalah Berita Dari Rantau, dari album Alleycats 4 (menurut kata Topeq, sering dinyanyikannya semasa di dalam tandas..). Tentu Topeq terkenangkan kampung halamannya di Trengganu itu, ataukah ada seseorang yang ditinggalkannya di sana?

Maklumat lanjut tentang kumpulan pemuzik tersohor ini boleh didapati di Alleycats. “Terima kasiiiih!!”

............................................................
Ebiet G Ade







Ebiet adalah karyawan dari Indonesia yang menghasilkan dan menyanyikan lagu-lagu berasaskan puisi ciptaannya sendiri. Album-album daripada siri Camellia I hingga IV amat popular sekali semasa aku di STAR. Di antara lagu-lagu puitis Ebiet yang hit adalah seperti Camellia I (Camellia I, 1979), Berita Kepada Kawan dan Nyanyian Ombak (Camellia II, 1979), Elegi Esok Pagi (Camellia III, 1980) dan Titip Rindu Buat Ayah, Nyanyian Rindu (Camellia IV, 1980). Lagu-lagu yang sering dinyanyikan oleh ‘seniman blok’ di STAR antaranya Camellia I dan Camellia IV.

Lagu yang paling kuminati pula adalah Nyanyian Rindu. Menurut kata Yusoh aka Ucoh Bass (teman sekelas Matrik 1 di STAR), itu juga merupakan lagu kegemarannya dan kini selalu dinyanyikan di karaoke. Bayangkan kalau Ucoh yang menyanyikan, dengan suara bass yang menjadi identitinya itu!

Lagu Camellia 2 (album Ebiet G Ade, Camellia II, 1979) pula telah dinyanyikan semula oleh kumpulan Sweet Charity dengan tajuk Kamelia, dalam album kedua mereka (Pelarian, 1980). Ramli Sarip telah menyampaikannya dalam versi rock dengan suara serak dan gaya yang tersendiri, sehingga menjadi pemacu kepada kemasyhuran dan peledakan kumpulan Sweet Charity seantero Malaysia, Singapura dan Brunei.

Untuk mendapatkan info terkini tentang saudara Ebiet G Ade boleh layari Ebiet

"Coba engkau katakan padaku
Apa yang seharusnya aku lakukan
Bila larut tiba wajahmu terbayang
Kerinduan ini semakin dalam..." Nyanyian Rindu.

* bersambung ke bahagian IV (bahagian akhir STAR dalam Kenangan).

Wayang free. Debate. Rugby games. Cobratasha. Cheering Squad. Cerita hantu. Tension Exam. Break dengan Lan.

~ psst..kena ikut macam album Ebiet jugak, ada empat siri Camellia..hehehe..

Saturday, October 22, 2011

Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan (Bahagian II)

Sepanjang di STAR selama setahun iaitu untuk sesi 1981/82, aku menjadi penghuni Dorm Mawar. Ada dua lagi Dorm iaitu Dorm Orkid dan satu lagi telah kulupa namanya. Dorm-dorm untuk pelajar perempuan ini terletak di tingkat atas blok yang terletak di antara blok pelajar tingkatan satu dan blok rumah biru. Di tingkat bawah terdapat Sick Bay/ Sick Room iaitu untuk mana-mana pelajar yang sakit, berehat dan diasingkan daripada pelajar lain. Di dalam Bilik Sakit ini terdapat beberapa katil dan suasananya agak sepi persis di wad hospital. Selalunya pintu ke Sick Bay ini tidak berkunci dan kamarnya pun kosong selalu. Pernah suatu ketika aku sedang berendut (‘dating’ dalam bahasa Johor) dengan RM, di dalam bilik ini, Cikgu Siti Sarah muncul dengan tiba-tiba dari dalam. Alamak macam hantu rayalah pulak, ini tidak lain mesti dapat maklumat daripada pengawas.

Sudah kutahu akibatnya, pasti aku akan dipanggil ke Bilik Pengetua dan menerima habuan syarahan percuma. Penuh lubang telinga, orang sekarang kata..”bernanah telinga”! Pernah sekali, Tuan Pengetua, Encik Rozali Nordin, menegur aku kerna mengerutkan muka tatkala dileteri. Katanya, “Ni kenapa nak berkerut macam orang tak bersalah. You have created a scar, you have to live with it forever.” Mak aii..sampai begitu sekali. Kuterima teguran itu dengan ikhlas, ianya menjadikan aku lebih berhati-hati dalam segenap aspek, tetapi tidak sampai takut untuk mencuba dan mengambil risiko. That is so not me. Those who got no scars are cowards.
................................................................
"There is something beautiful about all scars of whatever nature. A scar means the hurt is over, the wound is closed and healed, done with."
- Harry Crews, American writer and novelist.

"Because nobody goes through life without a scar."
- Carol Burnett, American actress, comedian, singer, dancer and writer.

"Scar tissue is stronger than regular tissue. Realize the strength, move on."
- Henry Rollins, American rock singer, author, actor and poet.

"The optimist already sees the scar over the wound; the pessimist still sees the wound underneath the scar.”
- Ernst Schroder, German mathematician mainly known for his work on algebraic logic.
......................................................................
Apapun, kehidupan di dorm agak menyeronokkan. Setiap pelajar diberikan sebuah katil (yang perlu dipasang kelambu) dan sebuah almari pendek (locker) setinggi paras dada. Pada mulanya, almari diletakkan sederet melekap ke tembok secara berkelompok. Tetapi setelah kami settled down, dan bermesra, kami ahli Dorm Mawar bagaikan interior designer, mula menyusun atur semula ruang dalaman kamar dorm kami. Kami meletakkan almari di belakang kepala katil setiap ahli dorm. Tujuannya agar apabila pintu almari dibuka, ia akan mewujudkan ruang persendirian yang tersembunyi hanya untuk kita seorang sahaja, jadi adalah jugak ruang privasi. Aku dan Kak Ros cekmek Kelate di sebelah ku pula mengambil keputusan untuk merapatkan katil kami berdua, begitu juga dengan almari kami agar menjadi melekap back to back. Tujuannya agar setelah lights off, kami mudah berborak dari dalam kelambu dan kalau hendak makan jajan pun senang, kerna kami sungguh berdekatan sekali.

Di tengah-tengah Dorm terdapat sebuah katil kosong, kami jadikan ia tempat memasak. Ada heater dan sebuah kole ayan yang digunakan untuk memasak air panas untuk minum dan juga untuk memasak maggi. Aduhai, maggi sudah menjadi makanan rasmi selepas waktu lights off. Tepat pukul 11.00 malam (kalau tak silap), lampu perlu dipadamkan dan kelambu diturunkan. Selalunya kami akan naik ke atas katil, tunggu pengawas buat inspection (what a bore!), dan kemudian akan bangun semula untuk memasak maggi atau berborak-borak. Entah kenapa, walaupun makanan yang disediakan di STAR agak lumayan, perut kami asyik rasa lapar sahaja, agaknya sebab aktiviti kami sentiasa penuh dan sedang giat membesar. Walaubagaimanapun, kebanyakan pelajar yang studious dan berdisiplin tinggi akan meneruskan tidur mereka atau curi-curi sambung study di Study Room. So not me, again.

Di STAR, kami disediakan dengan breakfast, lunch, teatime, dinner dan supper. Kalau bulan puasa, ada waktu bersahur. Pada masa sahur inilah paling best, sebab boleh berpakaian bebas. Budak-budak STAR selalunya mengambil kesempatan untuk menggayakan bermacam-macam jenis pakaian ala-ala pakaian beragam. Sungguh menarik sekali, dan membuatkan aku rajin dan teruja hendak pergi bersahur. Ada yang berpakaian ala askar lama, ala pak haji, ala pop yeh-yeh, siap dengan spek hitam pun ada. Di waktu-waktu makan lain kami dimestikan berpakaian rasmi. Uniform sekolah di waktu sarapan dan makan tengahari. Berpakaian bebas di waktu minum petang. Berpakaian lengkap baju Melayu putih berkain merah dan berselendang/bertudung putih bagi perempuan, serta berbaju Melayu berseluar putih dengan samping merah dan bersongkok bagi lelaki di waktu makan malam. Pada waktu makan malam inilah para pelajar akan kelihatan handsome dan jelita sekali.

Pada ketika itulah, di suatu malam yang syahdu, ketika sedang beratur untuk memasuki Dewan Makan, aku jatuh cinta buat pertama kalinya dalam hidupku. Kulihat seorang pengawas lelaki sedang bertugas pada malam tersebut, sibuk kehulu-kehilir sambil mencuri-curi pandang padaku. Wow..Chinese look, tall and macho (kununnya)! Aduh bagaikan terkena panahan arjuna sakti terus ke lubuk hati. Dalam hati berkata, datanglah dekat, datanglah (perasan ada kuasa hipnotis lah pulak). Tiba-tiba sang arjuna berdiri di depan ku betul-betul. Menegur-sapa ala kadar sahaja, tetapi pandangan matanya tepat ke dalam mataku, membuatkan aku hampir sahaja “cair” dalam renungan.

Malam itu, sebelum lights off, datang seorang pengawas perempuan ke Dormku. “Fara mana?”, kata Jai. Alamak kenapa aku dicari. “Ni ha, ada orang kirim untuk you.” kata Jai sambil menghulurkan sebakul hamper, di dalamnya terselit sepucuk sampul surat. “Errr..sapa bagi ni, for me? Thank you Jai!” Jai pun berlalu pergi. Apa lagi, aku pun dikerumuni oleh rakan-rakan sedorm. “Fara, langkah dulu, langkah dulu!” “Fara, bawak lalu bawah ketiak dulu!” Aduhai, rakan-rakanku memberi peringatan takut aku kena manderem. Akhirnya aku pun mengalah, dan menurut sahaja arahan mereka itu. Terbahak-bahak semuanya gelak. Barang-barang di dalam hamper termasuklah segala macam biskut-biskit dan bedak talkum wangi MUM 21 serta beberapa kelengkapan persolekan dan mandian lain. Biskut-biskit habis dibahagi-bahagikan untuk dikongsi makan beramai-ramai. Thank you Lan. Aku pun beredar masuk ke balik almari untuk membaca titipan nota yang dikirimkan. “I`d like to know you better. RM.” Malam itu juga, mimpiku jadi kenyataan dan aku tiba-tiba terhumban ke dalam sebuah alam realiti fantasi yang sungguh indah.
..................................................................
“Men always want to be a woman's first love - women like to be a man`s last romance.”
- Oscar Wilde, Irish poet, novelist, dramatist and critic.
..................................................................
Bermulalah episod ada orang tunggu di koridor untuk melihat aku berjalan ke kelas, sembang-sembang di tepi tangga di bawah dorm, di balik tangga bangunan makmal, di dalam bilik sakit, main-main mata dari high table ke meja makan dan paling best outing bersama. Kali pertama kami dating, pergi keluar ke bandar Ipoh. It was a double date, between me and Lan, Rin with Shahrin. Shahrin headboy, di manakah dikau? Sebelum keluar itu, punyalah gelabah. Rin pun sibuk bagi perfume suruh spray banyak-banyak. Yang Tengku pulak berniat baik hendak tolong spray, tapi tersembur banyak. Sudahlah kuat sangat baunya. Apabila dalam teksi, Lan dan Shahrin sampai tidak keruan menahan hidung akibat bau wangi yang mengalahkan pontianak harum. Hihihi. Hampeh betul. Lan ini kelebihannya rajin menulis, dan ayat-ayat cintanya memang hebat dan power. Dia jugak pemurah orangnya, salah satu pemberiannya yang paling aku hargai, seutas rantai tangan berukir "I LOVE YOU". Walaupun ia bukan emas, dan sekadar costume jewellery sahaja, ianya amat bermakna buatku.

Di waktu-waktu lain kemudiannya kami selalu outing berdua sahaja. Wah sudah intim gitu. Aku akan masuk dahulu ke dalam panggung wayang. Apabila sudah gelap, baru Lan akan masuk. Kadang-kadang sebelum dia masuk, Lan akan menghantar adik-adik Junior untuk menemanku. Indahnya saat bercinta. Selalu sahaja kantoi, bukannya apa, setakat berborak berdua, dan berjalan seiringan pun adalah dikira melanggar peraturan. Jawabnya ke bilik pengetua atau penolong kanan Pluto. Kalau dengan Pluto, aku selamat sikit, sebab ada chance aku mengada-ngada melentok, dia selalunya cair. Kalau dengan Pengetua, jawabnya penuhlah telinga. Tapi Encik Adnan Ibrahim (Pluto) ini, adalah jugak berbuat baik padaku. Pernah sekali, aku ketakutan kerna terbawa kasut hitam yang bertumit agak terlebih tinggi dan bergaya sikit, takut pulak tak dibenarkan pakai, sebab sebenarnya kasut itu untuk melaram. Aku pun dengan lenggang-lenggukku pergi berjumpa Encik Adnan. "Cikgu..boleh tak saya pakai kasut yang macam ini? Saya dah tersalah beli sebenarnya. Habis tu, takkan saya nak kena beli yang baru. Boleh eh cikgu..lagi pun dah tutup dengan kain, bukannya nampak sangat." rayuku sambil mengangkat sedikit kain untuk menampakkan kasutku yang melanggar peraturan itu. "Ehm..takpalah, pakailah, saya benarkan." Sporting pulak Pluto ini. Terima kasih Cikgu. Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu di STAR.
...............................................
Lagu Sekolah
-------------
Bangunlah wahai teman-temanku,
berkorban segenap tenagamu,
bersama berusaha memajukan bangsa,
serta tanah air kita,
Bangunlah tuntut segala ilmu,
tunjukkan kebaktianmu,
jangan membuang masa,
dengannya sia-sia,
kerna ILMU PANDUAN HIDUP
..............................................
Kalau outing balik lambat lebih daripada masa pun kantoi jugak. Pandai-pandailah panjat gate belakang kalau hendak selamat. Ini biasa sahaja bagi budak-budak lelaki. Kami selalunya outing (dibenarkan keluar) semasa hujung minggu, lupa pulak sama ada tiap-tiap hujung minggu atau sebulan sekali. Peraturannya adalah mesti berpakaian lengkap sekolah, siap dengan lencana, hokay. Boring sesungguh, kan! Kami selalunya ke Taman Cempaka atau lebih dikenali sebagai TC, yang terletak di belakang STAR sahaja. Kalau duit lebih, barulah ke bandar Ipoh untuk shopping atau menonton wayang. Di TC, kami selalunya makan di Medan Makan. Makanan yang menjadi kegemaranku di situ adalah Kuetiaw Goreng dan ABC Special. Bagiku, itulah Kuetiaw dan ABC paling sedap di dunia. Kuetiawnya ada kerang gemuk-gemuk, tidak terlalu basah, tidak terlalu kering, just nice, perfect! ABC Specialnya pula siap ada kismis, kacang goreng, kacang merah besar, buah kabung, siraman sirap, susu dan coklat cair yang cukup dan seimbang, topped up with ice-cream, yummy!

Makanan yang disediakan di STAR, bolehlah tahan. Kalau tidak, masakan aku jadi tembam sejak duduk di sana, ini semua gara-gara makan nasi kawah, dan macam-macam makanan sendiri. Selalunya semasa breakfast, kami akan dihidangkan dengan roti, planta yang diceduk dan diletak ke dalam mangkuk, telur rebus dan air panas. Makan tengahari pula di sediakan di dalam dulang berkompartmen. Lauk-lauk yang menjadi kebiasaan adalah kobis masak lemak yang kelihatan hampir hitam, bukan putih berseri. Ini tentu gara-gara katerer cekik darah, kedekut hendak guna santan fresh, guna santan yang diambil daripada kelapa yang diparut sehingga ke dasar tempurung. Kedekut nak mampus punya katerer! Lepas itu, ikan goreng helikopter, sebab digoreng terlampau lama sehingga jadi kering dan melentik keras. Kalau ayam okaylah jugak sebab dimasak kurma, jadi agak lembut dan enak dimakan. Apapun, setiap kali makan tengahari atau makan malam, dimestikan menggunakan sudu dan garpu. Kicap botol besar akan sentiasa disediakan siang dan malam di setiap meja di Dewan Makan. Setiap hari Jumaat, selalunya kami dapat hidangan special, misalnya nasi bariani dan lauk yang agak bestlah jugak.Di antara kuih yang selalu disediakan pula adalah kuih badak, sampai sekarang aku tidak lalu lagi makan kuih badak ini, masih terasa lagi kuih badak STAR sehingga kini.


Bersambung ke Bahagian III.

Tempat sidai baju. Tiang bendera. Alleycats. Ebiet G Ade. Wayang free. Debate. Rugby games. Cobratasha. Cheering Squad. Cerita hantu. Tension Exam. Break dengan Lan :(
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan (Bahagian III)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Thursday, October 20, 2011

Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan (Bahagian I)

1981, keputusan SPMku diumumkan. Maka bermulalah proses pengisian borang untuk ke universiti. Disamping itu, terus sahaja menerima tawaran untuk ke tingkatan enam bawah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Ini diikuti pula dengan panggilan untuk temuduga daripada pelbagai universiti.

Semasa sedang menduduki tingkatan enam, seorang demi seorang rakanku pergi meninggalkan sekolah untuk ke ITM. Aku..urgh..masih belum menerima apa-apa panggilan pun. Tiap hari sepulangnya dari sekolah, kulihat jika ada apa-apa surat daripada mana-mana institusi pengajian tinggi. Tidak kiralah yang mana satu, lebih mudah lagi kalau aku diterima ke ITM atau UPM ambil diploma, cepat sikit aku boleh bekerja dan membantu keluarga. Hampir-hampir sahaja aku putus asa, dapat Gred 1, agak cemerlang jugak agregatnya dengan beberapa distinctions (gred A) dan credits yang kukuh (C3), namun bayang tawaran masih belum kelihatan.

Akhirnya, di suatu hari, aku ponteng sekolah kerna kebosanan yang memuncak. Sedang aku berangan-angan di ruang tamu, "kelepuk"..ada sampul surat besar dimasukkan ke lubang surat di daun pintu rumahku, lantas jatuh ke lantai. Mahu sahaja aku berlari pergi mengutipnya. Argh..nanti posmen itu kata aku kiasu dan gila tunggu surat pulak. Tidak mengapa, kutunggu sehingga motorsikalnya berlalu pergi..vroom vroom.


"Anda diminta melapurkan diri ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak....." dan panjang lagi isi kandungannya, begitu tebal sekali. Hah? Matrikulasi? Apa tu? Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang? Jauhnya! Aku tak pernah pun memohon untuk ke USM!! Apa ni? Oh rupa-rupanya aku telah dipilih terus oleh UPU untuk melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi I USM di STAR Ipoh, selanjutnya ke Matrikulasi II di USM Pulau Pinang dan barulah membuat pemilihan ke kursus Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian selama empat tahun di Kampus USM Minden Pulau Pinang. Adoii..enam tahun semuanya.

Kuunjukkan surat tebal itu kepada Abah di petang hari. Kata Abah, "Eh bagus sekolah tu, residential school yang agak terkenal jugak tu. Pergilah. Tapi kalau taknak, Abah boleh bawak jumpa kawan Abah kat MAS, jadi stewardess, you could see the world." Wah Abah memang open-minded, tak suka bagi saya stress dan sentiasa menggalakkan saya buat keputusan sendiri sejak kecil. Dia selalu kata, "There will always be other choices and alternatives, its up to you to make good and the best out of anything." Dan yang paling best jugak, dia pernah kata, "Everybody will fall in love more than once." Ahaa..lets check this out! Have you?

Pada suatu malam, ditemani Abah dan Mak, aku mulakan langkah penghijrahan buat kali pertama dalam hidupku, keluar dari bandar kelahiranku Johor Bahru. Uncle Amzah dan Auntie Nozie menghantar hingga ke tempat bas ekspres bertolak. Kelihatan mereka berbual-bual dengan seorang budak lelaki, kemudian memperkenalkan kepadaku dan keluarga. "Ini Baharudin. (bin Mahadi, kalau tak silap.) Dia pun nak ke STAR, Ipoh. Dia sorang je. Berani dia." kata Uncle Amzah. "Din nanti kat sana tolong tengok-tengokkan Fara ya, dia tak pernah berjauhan dengan keluarga." Din tersenyum-senyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Aku pula, bukanlah pemalu sangat, tapi sebenarnya terkedu, kerna Baharudin inilah yang pernah aku date semasa cuti sekolah panjang tingkatan empat dahulu. Dia ini sebenarnya sekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Muar, kalau tak silap ingatanku. Pada masa itu aku berkawan dengan rakan-rakan Sekolah Aminudin Baki, Johor Bahru, yang selalu mengadakan parti dansa ala-ala Saturday Night Fever dan Grease. Mereka itu kebanyakannya tinggal di Century Gardens, Johor Bahru dan Baharudin adalah abang kepada Zulkarnain, rakan sekolahku. Pada suatu hari geng kami pergi menonton wayang, dan oleh kerana Baharudin pulang bercuti, dia diajak sama dan disuruh berpasangan denganku semasa menonton. Nothing happened. Setakat di situ sahaja perkenalan kami. Tiba-tiba ketemu semula dalam perjalananku ke STAR.


Setibanya di Ipoh, ibubapaku, aku dan Din bersama-sama dalam satu teksi ke STAR. Di STAR, kami terus dihalakan ke Dewan Besar di mana pendaftaran dilakukan. Sementara menunggu, Mak berbual dengan seorang makcik dan anaknya. Anak lelaki Makcik itu pun sedang mendaftar masuk ke Matrikulasi I USM, namanya Jamal (sekarang lebih dikenali sebagai Dr. Jem). Jem kelihatan sibuk memegang bantal bolsternya. Kata Makcik, Jem payah tidor tanpa bantal tersebut. Aku dan Jem pun berkenalan, kami kemudiannya menjadi rakan sekelas di Matrik 1, STAR. Baharudin pula kalau tak silap telah ke kelas Matrik 5.

----------------------------------------------------------------------------
Sub-Plot :

Baharudin kemudiannya terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh uncle dan abahku. Setiap menjelang cuti sekolah, Din akan bertanya sama ada aku sudah mendapat tiket bas atau tidak, dan dia memang baik, tidak pernah ambil kesempatan untuk menyeleweng, dia memang seorang sahabat yang setia. Sehingga ke USM pun Din masih mengambil berat tentangku. Apabila cuti semester menjelang tiba, dia akan mencariku sehingga ke Desasiswa untuk bertanyakan tentang kepulanganku ke kampung halaman, dan sentiasa mengingatkan untuk pulang, dan agar meminta apa sahaja bantuan kepadanya jika perlu. Pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan berita Din dimasukkan ke hospital kerana sakit dalam perut. Halimahton telah membawaku melawatnya di Hospital Pulau Pinang. Pada ketika itu Din kelihatan uzur sungguh, kurus kering dan tidak bermaya. Apabila aku pergi ke sisinya, dia masih tersenyum dan sempat bertanya khabar, serta bertanya bagaimana dan sama ada aku akan pulang bercuti ke kampung pada cuti yang akan datang. Aku yang sihat walafiat ini sehinggakan tidak terdaya lagi untuk berkata-kata melihatkan kebaikan dan keperihatinan abang angkatku itu, di saat-saat dia sendiri sedang berjuang untuk hidup. Kemudian Din terbatuk-batuk mengeluarkan darah, sehinggakan ada pelawat yang melihatnya, rebah pengsan gara-gara fobia dengan darah. Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar duka bahawa Din telah pergi meninggalkan dunia ini untuk selama-lamanya. Dia tewas dalam perjuangannya melawan kanser. Al-Fatihah. Arwah Baharudin.
----------------------------------------------------------------------------

Selesai urusan pendaftaran, aku ditempatkan di Dorm 1 (kemudiannya dinamakan Dorm Mawar), mendapat katil nombor 3. Di dalam Dorm Mawar ini kemudiannya aku tinggal selama setahun bersama-sama dengan Saadiah (Sadi), Rosmawati (Kak Ros, Kelantan), Imah, Sabarina (Rin), Tengku Azariah (Tengku/Aza), Mazuwin (Win), Hamidah (Cikgu Midah), Fadzillah (Cikgu Ilah, tapi kemudiannya menjadi Doktor Ilah), Saadah (Adah), Wan Nor Adzmin (Min), Fauziah Muslim (Gee), Zaiton Yaakob (Eton Jagung), Khalidah (Kelly), Kamariah (Kay) dan mungkin Bariah (Barry). Maaf jika ada kesilapan pada nama, atau jika ada yang tertinggal, dan maaf juga kupohon kerna menyebut nickname zaman itu, sekadar memateri kenangan terindah.


Dalam pergerakanku dari Dewan Besar ke Dorm Mawar, aku terpaksa melalui kawasan di tengah-tengah di antara bangunan kelas, kelihatan ramai pelajar STAR yang berada di dalam kelas-kelas tingkatan satu hingga lima, menjenguk keluar. Macam-macam bunyi kedengaran..pheeweet, syuut-syuut, psst-psst! Eh kenapa mereka pandang aku semacam sambil membuat pelbagai bunyi? Kemudiannya aku mendapat tahu bahawa inilah kali pertama pelajar perempuan dibawa masuk belajar di STAR, dan ini agak menterujakan para pelajar STAR sedia ada yang selama ini merupakan lelaki belaka. Aku pula datang mendaftar dengan berpakaian agak daring, iaitu seluar jeans corduroy slim-feet berwarna cream dengan t-shirt baseball lengan panjang..alamak, patutlah mereka pandang semacam.


Selesai pendaftaran masuk, ibubapaku pulang meninggalkan aku keseorangan buat pertama kalinya dalam hidupku. Orientasi pun dijalankan dan kehidupan di STAR bermula. Aku mula berkenalan dengan istilah-istilah dan perkataan-perkataan (all things STAR) seperti : lights off, prep, high-table, study room, kelambu, supper, sick room/ sick bay, TC (Taman Chempaka), outing, Alleycats, Ebiet G Ade, Ilmu Panduan Hidup, Rancangkan Kerja dan Kerjakan Rancangan (Plan Your Work and Work Your Plan), Pusat Sumber, rugby team, Cobratasha, stay-up, maggi, MCKK (musuh ketat), debate team, blue/green/yellow/white/black house, kuetiaw TC, ABC TC, kemaruk, pelbagai nicknames yang pelik-pelik dan macam-macam lagi. Lawati laman ini jika anda rindukan STAR Friends of STAR dan juga tapak web rasmi sekolah STAR Ipoh

Catatan penulis : pastikan anda mengikuti "Bahagian Kedua - Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan" untuk perincian ceritera kenangan terindah (suka, duka, tawa, luka dan lara) di STAR yang lebih personal dan eksklusif. Akan datang.
---------------------------------------------------------
Kugapai Bintang, STAR dalam Kenangan (Bahagian II)
---------------------------------------------------------

Saturday, April 23, 2011

Skandal Aku dan..

..Komputer

Soalan ini hanya ditujukan kepada mereka yang lahir pada tahun 1963 dan sebelumnya. => Bilakah kali pertama anda menyentuh komputer dan menggunakannya. Bilakah kali pertama anda jadi celik IT (teknologi maklumat) dan pandai berinternet.

Bagi saya, begini ceritanya.

~~yang ini bukan komputer, ini typewriter saya yang banyak berjasa semasa menuntut di USM~~

Mula-mula saya diperkenalkan kepada komputer adalah semasa masih dalam pengajian di USM. Walaupun kursus yang saya ambil itu bukan kursus komputer, saya masih diwajibkan mengambil satu subjek yang berkaitan dengan pengaturcaraan komputer, mungkin untuk membolehkan kami mencipta perisian yang bersesuaian dengan bidang kami kelak. Tetapi pada masa itu, otak saya masih belum boleh tune, mengapa saya kena ambil subjek itu. Jadi saya pun menghadiri kuliah sambil otak melayang memikirkan projek dan tugasan lain. Pada saya sungguh membosankan belajar sesuatu yang penuh dengan huruf-huruf dan nombor-nombor yang entah apa-apa, pada ketika itulah. Ditambah pula dengan tugasan yang diberikan, terpaksa pergi menempah komputer di makmal komputer. Kebanyakan tugasan pengaturcaraan saya dibuatkan oleh sahabat saya Haniz. Terima kasih Haniz, jasamu kukenang hingga akhir hayat.

Apabila mula bekerja di sebuah organisasi separa kerajaan, mereka menggunakan komputer berbentuk word processor (WP), iaitu khas untuk menaip surat dan laporan sahaja. Teks hijau muncul di skrin hitam WP. Saya tidak perlu menggunakan sendiri WP tersebut kerana ada jurutaip dan kerani yang disediakan. Beberapa tahun kemudian saya ditamatkan kontrak di situ.

Saya menyertai pula organisasi swasta, iaitu sebuah firma arkitek. Rezeki ALLAH yang bagi, terutama bagi anak yatim yang teraniaya. Di situpun ada disediakan setiausaha untuk menaip laporan dan surat. Saya cuma perlu menulis draf dan menyerahkan kepada setiausaha untuk menaipnya. Pada masa itu firma arkitek tersebut menggunakan personal computer (PC) Macintosh (Mac). Saya mula tertarik, pada masa lapang (yang sangat sedikit) saya ada belajar menggunakannya sedikit-sedikit, dan memang digalakkan oleh Principal Architect agar menambah skil. Beliau ini memang dinamik dan perfectionist orangnya. Bekerja dengannya selama tiga tahun ibarat tiga belas tahun, pelbagai ilmu dapat diraih. Dia suka melahirkan individu yang multi-skilled dan berani. Malahan kalau saya hendak belajar menggunakan komputer AutoCAD pun beliau menggalakkan, cuma saya sahaja yang malas dan tak larat nak absorb lagi masa tu. Walaubagaimanapun saya masih mengharapkan setiausaha untuk menaipkan surat dan laporan kerana tiada PC yang dikhaskan untuk saya.

Saya kemudiannya menyertai pula sebuah organisasi swasta lain, iaitu sebuah syarikat developer yang pada ketika itu sedang membangunkan sebuah kompleks di selatan tanah air. Syarikat ini beribupejabat di Pulau Mutiara. Pada hari pertama saya melangkahkan kaki ke dalam pejabat tersebut, saya agak terkedu sedikit melihatkan terdapat sebuah PC di atas setiap meja, termasuk meja receptionist dan meja bos. Apabila saya duduk di workstation saya, seorang technician datang menjelaskan serba sedikit tentang operasi PC di hadapan saya, yang menggunakan Windows, dan mempunyai perisian Microsoft Office dan berinternet. Saya diberitahu bahawa di syarikat ini, komunikasi di antara satu sama lain adalah melalui emel sepenuhnya, kerana visi Managing Director (MD)nya adalah untuk cuba mewujudkan a paperless environment, iaitu sebuah persekitaran tanpa kertas. Alamak, menggigil kaki dan tangan saya, tapi saya buat-buat cool sahaja. Perlahan-lahan saya cuba explore isi perut PC itu. Entah berapa kali technician terpaksa membetulkan komputer saya. Pada ketika itu sesiapa yang asyik menjahanamkan PC digelar David Copperfield, pakar ilusi. Akhirnya saya berjaya juga menggunakan emel dengan selesa. Ini sangat penting kerana setiap komunikasi dengan orang di bawah atau di atas adalah melalui emel semata-mata, dan semua arahan dan laporan disahkan melalui emel. Adoi.

Menggunakan MS Office masih menjadi satu masalah besar bagi saya pada ketika itu. Alahai bagaimana saya mahu menyediakan laporan dalam bentuk MS Word, Excel dan Power Point ni. Tidak akan ada orang yang akan menaip untuk anda di situ, daripada CEO hingga ke Pembantu Pejabat pun perlu menggunakan PC sendiri, cuma tea lady dan cleaners saja tak disediakan PC. Technician yang ada sekadar menunjukkan garis panduan asas menggunakannya sahaja. Di waktu yang sama, saya tidak berputus asa, kerana training yang diberikan kepada saya di firma arkitek dan ketika di universiti menjadikan saya seorang yang kuat. Saya lihat ada buku-buku cara menggunakan PC banyak disediakan di pusat sumber syarikat tersebut. Saya pun pinjam dan membaca sambil mencuba-cuba di PC selepas waktu pejabat, setiap hari sehingga malam, termasuk hari Sabtu dan Ahad. Akhirnya saya menjadi celik komputer dan seorang pengguna internet yang agak cekap juga. Selepas enam bulan, saya sudah mula menjadi pengajar pula kepada kepada jurutera-jurutera dan mereka dari bahagian teknikal, bagaimana menggunakan PC dan sistem yang disediakan di syarikat kami. Kepuasannya tak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Apabila kompleks sudah siap, masuk pula pasukan penjualan dan pemasaran. Ada seorang marketing executive yang sudah berumur 40an pada ketika itu, dan tidak tahu langsung untuk menggunakan komputer waima menghidupkannya pun. Saya mengajarnya daripada mula, memasang suis, memetik suis dan bagaimana menghidupkan komputer, dan seterusnya menggunakan perisian dan sistem yang ada, perlahan-lahan. Akhirnya beliau bukan sahaja boleh menggunakan komputer dengan selesa, malahan telah menjadi berminat sehingga membeli sendiri sebuah komputer peribadi untuk melatih dirinya di rumah. Rakan saya ini kemudiannya meninggal dunia dua tahun kemudian akibat kanser. Saya rasa puas apabila membayangkan semula bagaimana gembiranya dia tatkala dia berjaya menghidupkan dan menggunakan komputernya, dan bagaimana dia menitiskan airmata gembira di saat saya konon-konon mentauliahkannya dengan menghadiahkan sebuah mousepad yang saya beli di kota London.

~~ini komputer pertama yang dibeli sendiri, Acer Aspire. masih ada, dan boleh beroperasi.~~

Pada penghujung tahun 1997, saya berhenti kerja sepenuh masa, dan kembali semula ke Kuala Lumpur. Saya mengisi masa dengan mengambil Diploma dalam bidang lain sebagai value added kepada Ijazah yang saya ada. Saya beli komputer pertama saya dalam tahun 1999, sebuah PC jenama Acer Aspire, dan membuat sambungan internet dengan menggunakan telefon rumah. Saya mula memasarkan diri saya sebagai perunding bebas. Ini bukan kerja mudah, dan hasilnya pun bukan serta-merta. Walaubagaimanapun saya menganggap pemasaran adalah aspek paling penting, jadi saya lakukan ia tanpa henti dan tanpa jemu walaupun hasilnya belum kelihatan. Percaya cakap saya, usaha yang ikhlas pasti akan ada ganjarannya, walaupun lambat dan kadang-kadang dalam bentuk yang kita tidak sedari. Ada ketika, sampai sekarang pun saya masih ada terima tawaran hasil usaha pemasaran saya sepuluh tahun lalu, sehinggakan kadang-kadang saya sendiri pun sudah terlupa tentang mereka. Beberapa kontrak yang saya dapat kini, pada mulanya bermula dengan kerja sukarela sahaja, dan ada yang dimulakan dengan pembayaran token sahaja. Hebatnya bekerja dengan mereka di peringkat global ini, dalam ertikata mudah, bekerja dengan matsaleh, mereka sangat menghargai hasil kerja kita. Apabila kita telah membuktikan keupayaan kita, mereka akan percaya pada kita dan memberi kita habuan yang setimpal dengan apa yang kita deliver. Tidak perlu bodek, tidak perlu jadi yes man, angguk-angguk, tidak perlu hipokrit, tidak perlu menikam rakan sekerja, tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk menaikkan diri sendiri.

Kini saya sedang menggunakan laptop kedua saya jenama Sony Vaio berwarna pink, dengan sambungan mobile internet melalui telefon mudah alih, jadi saya bebas bekerja pada bila-bila masa dan di mana jua. Terima kasih Tun Dr Mahathir, terima kasih Maxis (walaupun kadang-kadang lembab, tetapi kira okaylah jugak), dan terima kasih juga kepada musuh dalam selimut saya di tempat saya mula-mula bekerja di sebuah badan berkanun, yang dengki dan menyebabkan saya ditamatkan kontrak. Jika saya tidak ditamatkan kontrak di situ, saya akan terus berada di takuk lama. Alhamdulillah. ALLAH Maha Agung, Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Setiap yang terjadi pada kita walau seburuk manapun ia, andai kita sentiasa mengingati DIA, DIA tidak akan pernah lupa pada kita, dan akan sentiasa memberikan yang Terbaik untuk kita akhirnya.

Sunday, February 27, 2011

Memori Rumah Tarom

Teks : Fara Al-Kably
Gambar-gambar : Kak Nani, Izan dan Google Images
Tribute Kepada : The whole family


Rumah Tarom adalah rumah Tok Abah iaitu bapa kepada bapa saya. Rumah ini terletak di Tarom, Johor Bahru. Semasa kecil dari sekolah rendah sehingga tingkatan tiga, saya selalu dibawa mengunjungi Rumah Tarom ini oleh bapa saya, kadang-kadang hampir setiap hari dan hingga ke larut malam. Bapa saya suka berjalan dengan kawan-kawannya dan dia tidak mahu kami tinggal bersendirian di rumah, jadi beliau akan membawa kami ke rumah Tok Abah, dan setelah selesai urusan dengan kawan-kawannya Abah akan mengambil kami di rumah Tok Abah. Ada kalanya Abah tidak berjumpa pun dengan kawan-kawannya, dan dia akan bersama-sama berborak hingga ke tengah malam di rumah Tok Abah. Kadang-kadang kalau kami tak mau ikut, Abah akan marah, dia akan kata, “Mana boleh tak pergi rumah Tok Abah, hari-hari pun mesti pergi, jumpa Tok.” Jadi suka tak suka, kami dua beradik memang terpaksa ikut pergi ke rumah Tok Abah hampir setiap hari. Sebenarnya, kami bukanlah tak suka pergi, tapi biasalah budak-budak, kami pun kadang-kadang ada agenda nak dibuat di rumah sendiri, ish..rosak program kami tau.

Setiap kali tiba ke rumah Tok Abah, biasanya bahagian dapurlah menjadi tumpuan utama, tengok Tok Mok masak apa. Tok Mok adalah mak kepada bapa saya, cucu-cucu lain kebanyakannya panggil Tok Mak, tapi kami tetap panggil Tok Mok, sebab rasa manja dan mesra sangat panggilan tu. Tok Mok pun kalau bahasakan diri dia dengan kami, dia gunakan Tok Mok sahaja. Tok Mok selalu berada di dapurnya yang luas itu. Dari dapur ini kita boleh ke bilik air dan dapur basah Tok Mok. Dari dapur basah Tok Mok, kita boleh keluar ke laman belakang. Dapur basah Tok Mok ini berkongsi kolah dengan bilik air, dipisahkan oleh sekatan dinding. Kadang-kadang ada katak di dalam bilik air yang agak malap pencahayaannya itu. Selalunya sambil mencangkung untuk buang air kecil, saya akan memerhati sekeliling bilik air dengan penuh ‘tension’ untuk melihat sama ada, ada katak atau tidak. Macam terasa seram tatkala membayangkan katak itu menggigit saya dan tidak mahu melepaskannya. Alamak, me and my imagination. Kadang-kadang nampak katak tu sedang memandang dengan mata terbeliaknya..oh malu pulak..ciss!

Tok Mok ni pakar pembuat acar buah. Acar buah Tok Mok paling sedap dalam dunia. Kadang-kadang rasa sayu sangat bila teringatkan Tok Mok. Tok Mok akan mengumpul botol-botol kosong untuk disimpan acar buahnya. Bahan-bahan untuk buat acar dibeli sendiri oleh Tok Mok. Dia akan pergi ke kedai dan membeli bahan-bahan seperti buah asam, jeruk dan rempah-ratus untuk membuat acar buahnya. Tok Mok memasak acar buahnya di dalam periuk besar dan kemudian memasukkannya ke dalam botol-botol yang telah dikumpulnya. Botol-botol berisi acar itu kemudiannya disimpan di dalam almari besar yang dibuat di dalam dinding, kira-kira kalau sekarang ini orang panggil built-in lah. Sedap betul acar buah Tok Mok, menyesal rasanya sebab tak belajar cara-cara membuatnya. Tok Mok ni kelakar jugak orangnya tau. Ada sekali dia cerita dengan saya. “Fara nak tau..tadi Tok Mok terpijak anak ayam, habis mati anak ayam tu, on the spot!” Manalah anak ayam tu tak mati, badan Tok Mok dahlah besar, lepas tu dia sentiasa pakai terompah kayu di dalam dapur, matanya pulak kurang jelas, apalagi nahaslah anak ayam tu. Kadang-kadang sampai saja kami di dapur Tok Mok, Abah dengan tak malunya terus tanya, “Mak masak apa Mak?” Tok Mok kata, “Masak sadin je..pegilah makan..” Dan Tok Mok pun akan pergi mengambil lauk sadin untuk dihidangkan. Sebenarnya dalam hati saya, yahuu Tok Mok masak sadin! Memang best sadin masakan Tok Mok, nak-nak bila tak cukup sebab kena berebut ramai-ramai, itu yang jadi lagi best.

Bila dah habis urusan makan, orang lelaki semua akan naik ke atas, atau turun ke underground. Rumah Tarom ni ada underground level, pada masa itu level ini dihuni oleh uncles yang masih bujang. Kat sinilah boleh nampak lukisan Uncle Aman di dinding, dan kasut tongkang Uncle Ajis bersusun di balik tiang. Yang perempuan akan duduk-duduk lagi di dapur, borak-borak dengan Tok Mok pulak sambil minum teh, pun sedap jugak, eh asal Tok Mok yang buat saja sedap memanjang. Lepas tu, kami akan naik ke atas dan duduk di ruang tengah tempat menonoton TV. Ruang ini bersambung dengan dua buah bilik iaitu bilik Aunty Dah serta bilik Tok Mok dan Tok Abah. Tok Mok akan bersolat di dalam bilik dan kemudian dia akan keluar membawa bantal-bantal untuk diagih-agihkan kepada kami yang sedang menonton TV. Rancangan yang ditonton di TV sentiasa bergantung kepada taste Tok Abah. Jangan harap nak tengok cerita Melayu. Selalu yang kami kena tengok adalah rancangan World at War dan Combat. Dokumentari tentang binatang-binatang pun menjadi kegemaran Tok Abah. Drama bersiri Roots tentang slavery di Amerika pun kami tak pernah miss. Nanti sambil menonton, Tok Abah selalu cakap berulang-ulang, “Ini TRUE story tau.” Dah jadi macam tagline Tok Abah pulak. Wrestling pun Tok Abah buka, dan inilah rancangan kegemaran Tok Mok. Apabila menonton Wrestling, Tok Mok akan tonton dengan penuh perasaan, siapa yang ada berdekatan kadang-kadang kena picit-picit dan tumbuk dengan Tok Mok.

Apabila rancangan TV yang dibenarkan ditonton oleh Tok Abah dah habis, dia akan ajak kita semua ke anjung depan untuk berborak-borak. Saya selalu sahaja disuruh baca buku-buku Tok Abah yang bersusun itu. Lepas tu siap pesan cara bagaimana nak buka dan pegang buku-buku itu, kena berhati-hati tak boleh terkelepet dan tak boleh terkemek. Tok Abah punya koleksi buku memang dasyat. Ruang tamu dikeliling almari buku, ruang menonton pun dikelilingi almari buku. Ensaiklopedia entah berapa siri Tok Abah ada. Tapi saya ni budak jahat, kadang-kadang dah penat baca buku, apalagi mendangok orang tua-tua berbual di anjung pun best jugak, nak-nak apabila hari sudah jauh malam, macam-macam cerita Tok Abah sampaikan. Daripada kisah planet-planet, kejadian alam sampailah kepada kisah Nabi Muhammad s.a.w dan sejarah Islam. Semua at his fingertips sahaja, siap dengan tahun-tahun semua dia ingat.

~inilah anjung Rumah Tarom~

Ada sekali tu, Tok Abah cerita pasal hantu kat rumah Kak Bedah. Selalunya Tok Abah ni dia tak percaya hantu. Rumah Kak Bedah ni bersebelahan sahaja dengan rumah Tok Abah. Kak Bedah ni adalah anak kepada Pak Zaid, dan Kak Bedah ni berkawan baik dengan aunty saya Aunty Dah. Tiap-tiap hari without fail dia akan datang ke rumah Tok Abah untuk berborak. Menurut cerita Tok Abah, pada suatu hari, keluarga Pak Zaid semua tiada di rumah kerana keluar daerah, tiada seorang pun yang tinggal. Yang peliknya, bila hari malam seluruh rumah Pak Zaid jadi terang-benderang, seperti ada orang yang onkan lampu pula. Takkan pulak pakai timer kan? Yang peliknya lagi lepas seketika rumah itu akan gelap semula, dan beberapa ketika kemudian terang kembali. Ahli-ahli kelab larut malam di anjung Rumah Tarom pun tertanya-tanya mengapakah sedemikian jadinya. Setelah keluarga Pak Zaid pulang semula ke rumah mereka, Kak Bedah pun ditanyakan tentang perkara itu. Kak Bedah biasa sahaja, cool. Menurut katanya, ada adik lelakinya belajar ilmu persilatan dan mempunyai `penjaga’. Apabila dia tiada di rumah, ‘penjaga’nya akan tinggal dan mengawasi rumah mereka.

Anjung Rumah Tarom ini juga menjadi tempat persidangan keluarga berborak di siang hari semasa cuti. Kalau nasib baik akan bertembung dengan Wak Zaini penjual rojak gendong. Wak Zaini membuat rojaknya secara on the spot, dia akan menenyeh-nenyeh bahan rojak itu di dalam lesung antiknya di hadapan kita, dan membuat satu-satu, maknanya kalau ada sepuluh order, sepuluh kalilah dia menenyeh lesung rojaknya itu. Kita yang menunggu giliran boleh jadi meleleh air liur menunggu rojak siap. Wak Zaini berjalan kaki dari rumah ke rumah menjaja rojaknya yang sungguh sedap itu. Segala peralatan dan bahan membuat rojak dimasukkan ke dalam bakul dan bakul itu kemudiannya dililit dengan kain dan digendong di belakang atau di sisinya ala-ala orang Jawa. Tapi tidak lama selepas itu, kelibat Wak Zaini tidak lagi kelihatan menjaja rojak gendongnya, kerana dikhabarkan anak perempuan beliau telah berkahwin dengan seorang Mat Saleh dan ada memberi wang belanja kepada Wak Zaini dalam jumlah yang agak lumayan, dan Wak Zaini pun tidak perlu lagi menggendong rojaknya. Kalau nak makan rojak sila tenyeh sendiri hokay!
~ini gambar orang menggendong bakul, tapi Wak Zaini takda lah semuda ini :-)~

Rumah Tarom ni paling syok dikunjungi pada Hari Raya Puasa, kerana pada ketika inilah semua uncles and aunts iaitu anak-anak Tok Abah akan pulang beraya. Dan sebagai kanak-kanak kitalah yang paling gembira kerana collection tersangatlah lumayannya. Kadang-kadang dekat Rumah Tarom sahaja koleksi duit raya sudah mencecah hampir seratus ringgit lebih. Selalunya saya akan simpan dalam tabung arnab saya yang berwarna maroon. Tabung itu tabung plastik dan hanya mempunyai tempat masuk duit sahaja, maknanya kalau kita ingin mengeluarkan duit, kita kenalah memecahkan tabung tersebut. Tetapi oleh kerana saya sayang hendak memecahkan tabung tersebut, apabila hendak menggunakan wang, saya akan mengorek tabung itu di lubang masuk duitnya menggunakan klip rambut besi yang berwarna hitam. Boleh dapat, tidak kesah sama ada wang kertas, mahupun wang siling. Saya hanya akan mengambil sejumlah wang yang diperlukan sahaja dan membiarkan bakinya untuk ditambah lagi apabila ada orang memberi duit lagi nanti. Wang yang saya keluarkan biasanya saya gunakan untuk membeli barang-barang yang saya ingini dan sangat sukai seperti kamera, View-Master dan slaid-slaidnya serta tape recorder/player dan cassettes. View-Master ini adalah permainan berbentuk kamera yang boleh kita masukkan slaid dan menonton gambar-gambar yang kita ingini, sama ada gambar-gambar pemandangan ataupun cerita-cerita menarik khas untuk kanak-kanak. Slaid-slaidnya tersusun dalam plate bulat dan kita perlu menekan tombol di View-Master untuk menggerakkan slaid-slaid tersebut. Kalau adik saya pula, dia akan gunakan duit simpanan untuk membeli koleksi kereta MatchBoxnya.

~inilah view-master yang saya suka sangat tu, eh rasa macam nak beli lagi lah pulak..~

Semasa perjumpaan Hari Raya di Rumah Tarom inilah saya akan bertemu dengan sepupu-sepupu yang tinggal di luar Johor Bahru. Biasanya saya ni diam sahaja orangnya, sepatah ditanya, sepatah saya menjawab. Dia orang biasanya akan main sembunyi-ibu dan kejar-kejar di keliling rumah Tok Abah, saya duduk sahaja di anjung memerhati. Dia orang ada jugak ajak join main kejar-kejar, tapi saya tak hendak. Sebenarnya saya bukan sombong, cuma tak suka berpeluh, rimas..hahaha. Ada jugaklah berbual dengan sepupu macam Loretta dan Amur. (Loretta, walaupun kita berlainan arah dan ideologi sekarang, I still love you okay, jaga diri kat sana jauh-jauh tu.) Yang kaki berborak tukang karut macam-macam cerita, Kak Gina. Kak Nani paling peramah, senyum aje. Paling lawa Kak Nolinlah, siap pernah jadi covergirl Majalah Wanita tau Kak Nolin ni.

Kalau bukan masa Hari Raya, kadang-kadang kalau hujung minggu boleh terjumpa dengan Aunty Mariam sekeluarga, dia orang ni tinggal di Pontian. Selalu kalau weekends tu dia orang adalah datang ke Rumah Tarom. Aunty Mariam selalu cerita dia orang baru lepas makan hotdog. Masa zaman tu hotdog baru diperkenalkan di Johor Bahru, buat kali pertama sebelum burger, sebelum A&W dan sebelum Mcdonalds. Abah saya pun ada pernah membelikan hotdog tersebut, yang dijual oleh seorang lelaki yang baru sahaja pulang merantau dari luar negara. Sedap giler, dan kemas sangat presentation dia. Kadang-kadang boleh jumpa Aunty Bon and family, dia orang ni tinggal di Singapura. Aunty Bon selalu bawak beg tangan besar, banyak duit tau Aunty Bon ni, pasal dia taukeh undi. Lagi satu trade-mark Aunty Bon ni, dia suka goyang-goyang kaki dia bila bercakap, dan tangan dia mesti ada pegang minyak cap kapak, sambil borak-borak, dia akan sapu minyak cap kapak ni kat kaki, tangan, hidung atau kepala dia. Orang kat Rumah Tarom ni kalau berbual dia orang akan bahasakan diri ana dan ante, jadi apabila di USM, budak-budak Arqam baru alim sikit aje dah nak guna ana ante, saya ketawakan terbahak-bahak. Selalunya perbualan di Rumah Tarom akan penuh dengan hilai-tawa dan suasana gembira. Wah..rindunya..

~ini minyak cap kapak yang selalu digunakan oleh Aunty Bon, tapi dia punya saiz yang paling besar, yang empat segi tu :-)~

Apabila saya menjejakkan kaki ke tingkatan tiga, saya kurang mengikut Abah ke Rumah Tarom. Ada alasan tak payah ikut sebab tahun peperiksaan SRP, lagipun kami telah berpindah ke rumah yang agak jauh dari Tarom iaitu di Bukit Cagar. Kemudiannya pula kerana saya akan menduduki peperiksaan SPM, walaupun pada masa itu kami telah berpindah ke rumah di Abdul Rahman Andak yang dalam jarak berjalan kaki sahaja dengan Rumah Tarom. Apabila saya telah tamat SPM dan pergi melanjutkan pelajaran di STAR, Ipoh dan seterusnya di USM, Pulau Pinang, saya tetap akan dibawa mengunjungi Rumah Tarom semasa cuti semester. Sebelum pulang ke rumah, saya akan bertemu Tok Mok untuk mencium tangannya, dan dia akan tanya saya, "Balik terus ke datang lagi.." Bila saya kata, "Balik terus Tok, cuti dah nak habis..", Tok Mok akan menarik tangan saya dan memberi duit yang telah dilipat kecil-kecil, selalunya RM50.00. Hingga kini, saya selalu rasa sedih bila teringat saya hanya sempat membalas budi Tok Mok dengan bacaan Al-Fatihah sahaja. Masih jelas terbayang wajah Tok Mok yang manis berbedak, rambutnya yang disanggul rapi dan diselit sekuntum bunga segar serta anggun gayanya berbaju Melayu Johor, tatkala sesekali Tok Mok dibawa berkunjung ke rumah saya.

Ada jugak yang beranggapan saya lupa diri dan tidak mahu ke Rumah Tarom lagi, sebenarnya bagi saya tanpa Tok Mok dan Tok Abah, Rumah Tarom bukan Rumah Tarom yang dulu lagi, tambahan pula Rumah Tarom kini sudah hampir berubah wajahnya. Mana mungkin saya lupa tentang Rumah Tarom, di sana jasad Abah saya terbujur kaku di ruang tamu, dan di sana juga jenazah Abah dibawa turun ke bumi buat kali terkhirnya.

Friday, February 11, 2011

Tok Bak Satu-satunya..

* Teks : Fara Al-Kably
Gambar : Koleksi Fara Al-Kably dan Google Images
Informasi : Mak dan Aunty Rose *


Tok Bak panggilan untuk datuk saya sebelah ibu, Mohd Said nama sebenarnya. Beliau adalah seorang lelaki budiman yang telah membesarkan ibu saya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang, walaupun beliau sebenarnya hanyalah bapa tiri sahaja. Nenek saya yang saya panggil Tok Mak terlebih dahulu pernah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Ahmad yang meninggal dunia kerana sakit demam panas semasa ibu saya masih dalam kandungan lagi.

Menurut cerita yang diperturunkan, Tok Bak yang juga merupakan kenalan ibu dan bapa Tok Mak, sangat bersimpati dengan Tok Mak saya, dan sering membantu membawa Tok Mak dan Mak saya yang masih bayi ke hospital untuk suntikan dan pemeriksaan kesihatan. Tok Bak memang seorang gentleman yang sangat baik hati, apabila fitnah mula ditaburkan oleh orang sekeliling, Tok Bak telah mengambil keputusan untuk menikahi Tok Mak dan membantu membesarkan ibu saya bagai anak kandungnya sendiri. Bersuamikan Tok Bak, Tok Mak kemudian melahirkan sembilan lagi anak yang merupakan adik-beradik tiri kepada ibu saya, dan sudah dianggap bagai adik-beradik kandung sendiri.

Bertuah sungguh saya, kerana hanya saya dan adik saya sahaja cucu yang sempat bertemu dan merasakan kasih sayang Tok Bak. Hahah..sorry my cousins! Tok Bak ni seorang yang sangat macho dan mempunyai identiti serta perwatakan tersendiri. Beliau adalah seorang chain smoker, berambut tebal dan lebat dengan jambul ala-ala Mick Jagger atau Jack Lord of Hawaii Five-0. Beliau seorang yang sangat-sangat humble, down-to-earth, baik hati dan pemurah.

Semasa saya dan keluarga tinggal di rumah teres Jalan Larkin Pasar, Johor Bahru, Tok Bak sering datang dalam pukul sepuluh pagi. Beliau pada ketika itu telah bersara dari Jabatan Perbendaharaan, Johor. Beliau akan pergi bersarapan di kedai kopi bersama teman-temannya, dan dalam perjalanan pulang, Tok Bak akan lalu di hadapan rumah saya, menghonkan keretanya dan berhenti sebentar. Saya pun akan berlari-lari keluar untuk pergi ke kereta Tok Bak. Tok Bak akan menghulurkan keluar sebungkus roti prata (roti canai dipanggil roti prata oleh orang Johor) dan satu pot berisi kuah dalca. Pada masa itu kuah dalca akan diisi ke dalam tin susu pekat yang dipasang tali rafia di tengah-tengah penutupnya. Penutup tin susu itu selalu dibuka tiga suku pusingan sahaja. Setelah kuah dimasukkan ke dalam tin, penutup tin akan diselitkan kembali ke atas tin dan tali rafia akan menjadi pemegangnya, saya pun tak berapa faham bagaimana ini boleh dilakukan tanpa kuah tumpah. Best betul Tok Bak sering hantar breakfast ke rumah. Masih terbayang-bayang senyuman Tok Bak kala saya berlari-lari mendapatkan bungkusan sarapan itu daripadanya.

Sub-plot : Susu Cap Junjung
Pada masa itu kira-kira dalam tahun 70an, susu pekat yang sering digunakan adalah Susu Cap Junjung, ataupun nama Inggerisnya Milkmaid, keluaran Nestle. Ia dipanggil Susu Cap Junjung kerana ada gambar gadis menjunjung bekas yang mengandungi susu. Apabila susu pekat habis digunakan, tin susu itu akan dibersihkan, dan digunakan sebagai pot ataupun bekas untuk mengisi kuah, dan sebagai pot beras iaitu digunakan untuk menyukat beras. Susu pekat Cap Junjung juga boleh didapati dalam bentuk paket tiga segi, dan saya pun selalu membelinya di kedai runcit, untuk diratah begitu sahaja. "Lekaslah Besar, Si Manjaku sayang, Minumlah Susu Cap Junjung..", kata iklan Susu Cap Junjung!


Menurut kata ibu saya, makanan kegemaran Tok Bak adalah lempeng pisang dan minuman kegemarannya pula adalah air teh susu. Lempeng pisang akan disediakan oleh nenek saya, Tok Mak, dengan banyaknya kerana bilangan anak yang ramai. Lempeng itu kemudiannya akan disusun bertingkat atau berlapis ala-ala pancake, kemudian dibelah empat, dan dibahagi-bahagikan kepada anak-anak, beberapa potong lempeng akan dikhaskan untuk Tok Bak. Air teh susu Tok Bak pula akan disediakan oleh ibu saya, ada cara khas membuatnya, telah diajarkan oleh Tok Mak kepada ibu saya. Caranya adalah menggunakan daun teh Cap Harimau, sedikit gula sahaja dan susu sejat atau susu cair iaitu Evaporated Milk jenama Carnation. Tok Bak tidak minum teh susu yang menggunakan susu pekat.

Dalam ingatan saya sering juga terbayang Tok Bak yang suka duduk di dalam gelap menonton televisyen, beliau akan memilih tempat yang paling belakang sekali, dan Tok Bak jarang bersuara. Tok Bak suka sekali memakai kain batik dan berlengging iaitu tidak berbaju. Beliau jarang mengenakan kain pelikat sebaliknya suka memakai kain batik terutamanya yang sudah lusuh, mungkin kerana ianya lebih lembut. Tok Bak sentiasa relaks sambil menghisap rokok kegemarannya jenama Craven A kotak merah dengan logo kucing hitam. Oh sungguh klasik!


Beliau juga seorang yang sangat stailo dan suka memandu kereta. Semasa beliau bekerja dengan Kerajaan, Tok Bak memiliki sebuah kereta Ford Consul berwarna hitam dengan nombor pendaftaran SF 9110. Selepas ibu saudara saya yang saya panggil Aunty Diamond bekerja, aunty saya ini ada memiliki beberapa buah kereta fesyen orang muda, seperti Singer Chamois yang berwarna hijau dan juga kereta sport jenama Bond Equipe warna putih yang sungguh glamor dan mengancam! Dan Tok Bak pun kadangkala ada memandu kereta aunty saya itu, dengan penuh bergaya sekali.


Tok Bak saya seorang yang sangat bertanggungjawab dan baik hati, dia ibarat lilin yang membakar diri, untuk menerangi orang lain di sekelilingnya. Dia jarang mahu ke klinik atau ke hospital, dan jika ada terasa kurang sihat, dia akan menyembunyikannya dari pengetahuan orang. Tok Bak meninggal dunia akibat serangan jantung pada tanggal 21 Mei 1973, di usia 56 tahun. Di saat negara meratapi pemergian Seniman Agung P.Ramlee seminggu kemudiannya pada 27 Mei 1973, kami sekeluarga masih lagi menangisi pemergian orang yang sangat kami kasihi, Tok Bak. Al-Fatihah. Jasa baik Tok Bak membesarkan ibu saya bagai anak kandungnya sendiri, dan menggembirakan saya di zaman kanak-kanak, tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Jika semua orang mempunyai hati sesuci Tok Bak, alangkah indah dan amannya dunia ini.

AL-FATIHAH
Allahyarham Mohd Said Abdul Rahim
seorang lelaki sejati