Pages

Friday, September 28, 2012

Kak Arah

Saat-saat gembira kami sekeluarga bersama Kak Arah di hadapan rumah kami di Johor Bahru. Kak Arah di belakang Abah.

Beberapa hari yang lalu saya ada menulis tentang "Avokado" di blog satu lagi. Sebenarnya saya dan keluarga telah diperkenalkan kepada buah avokado ini oleh Kak Arah kira-kira 43 tahun dahulu. Dia memanggilnya "Buah Kado".

Siapakah Kak Arah? Dia adalah pembantu rumah kami, atau dalam bahasa mudahnya orang gaji. Kak Arah berasal dari Tanjong Surat, Johor dan diambil bekerja bagi membantu ibu saya setelah ibu saya melahirkan anak kedua, iaitu adik lelaki saya. Kak Arah mula tinggal dengan kami sekitar tahun 1969, saya belumpun bersekolah pada masa itu. Tanjong Surat adalah sebuah perkampungan nelayan yang terletak dalam daerah Pengerang.

Sebulan sekali Kak Arah akan balik ke kampungnya, dan apabila dia kembali ke rumah kami di Johor Bahru, macam-macam buah tangan dibawa untuk kami sekeluarga. Pernah dia bertanya kepada Mak, "Kak Long pernah makan Buah Kado? Arah ada bawak dari kampung!" Mak kata, "Macam mana nak makan buah ni Arah? Orang putih panggil Avocado, Kak Long tahulah, tapi tak pernah try lagi." Kak Arah pun menjelaskan, "Kita makan dengan susu Kak Long, korek isi dia, lepas tu curah susu segar atau kalau suka manis, makan je dengan susu pekat. Sedap Kak Long, macam rasa aiskrim. Kalau tak suka susu, nak makan tabur gula pasir dengan garam sikit je pun boleh." Wah..sejak hari itu, kami sekeluarga pun pandailah makan Buah Avokado dengan susu sebagai dessert. Pada masa tu tak terfikir pulak pasal kandungan nutriennya yang hebat tu. Tapi Alhamdulillahlah, dah banyak dah Buah Avokado masuk dalam perut kami, tak cukup yang Kak Arah bawak, Abah beli kat kedai buah pulak lagi.

Orang gaji macam Kak Arah atau nama sebenarnya Saerah ni, memang payahlah nak dapat zaman sekarang ni. Satu dalam seribu Kak Arah ni. Dia manjakan adik saya dan saya bagaikan anak sendiri. Semua kerja dalam rumah dia buat, masak pun pandai. Dia jaga kami dengan penuh kasih sayang. Kalau makan mesti Kak Arah akan suap. Biasanya dia kepal-kepal nasi yang telah digaul dengan kicap dan isi ikan goreng, kemudian suapkan ke mulut kami dua beradik. Betul-betul macam Mak saya buat. Lebih best lagi, kalau dengan Kak Arah, boleh ngada-ngada lebih, lepas kena suap, boleh kayuh basikal pusing-pusing kemudian datang balik dan hantar mulut untuk disuapkan lagi. Oh indahnya kenangan itu. Kak Arah tak pernah marah, senyum je. Kalau Mak masak, kerja-kerja berat seperti menumbuk, menggiling, menyiang, mencuci, mengemas, malahan mengopek bawang semua Kak Arah yang buat. Abah pun yang begitu paranoid dengan kehadiran orang asing dalam rumah, boleh jadi selesa dengan Kak Arah. Dia sopan dan hormat sangat dengan Abah dan Mak saya. Kak Arah panggil Abah, Abang Sheikh dan Mak, Kak Long. Selepas Kak Arah, saya tak pernah jumpa mana-mana pembantu rumah seperti Kak Arah. Dia memang gred A++, kalau ada orang seperti Kak Arah sekarang ini, saya sanggup bayar gaji lumayan, dan bawa kemana saja saya pergi termasuk ke luar negara.

Kak Arah jugalah yang memperkenalkan keluarga kami dengan Belangkas. Balik dari kampungnya di Tanjong Surat, dia akan bawa macam-macam lagi termasuklah Belangkas dan Telur Penyu. Belangkas tu ditangkap oleh ayah Kak Arah dan telur penyu pula dia beli dengan duit dia sendiri. Sungguh murni hati Kak Arah, tak berkira langsung. Belangkas beserta telur belangkas akan dimasak lemak oleh Kak Arah. Fuh sedap giler! Paling syok telur belangkas tu lah. Sehingga sekarang, saya masih belum berpeluang menjamah lagi belangkas dan telurnya setelah ketiadaan Kak Arah dalam hidup kami.

----------------------------------------------------

*Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.

2. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

*rujukan, e-Fatwa, Portal Rasmi Fatwa Malaysia. -----------------------------------------------

Setelah beberapa tahun, sehingga adik saya hampir mahu masuk ke darjah satu, Kak Arah minta untuk berhenti kerja. Katanya mahu balik ke kampung dan menjaga ayahnya yang sudah uzur. Abah dan Mak saya kecewa tetapi terpaksa melepaskan dia pergi demi tanggungjawabnya kepada keluarga dia pula. Selepas Kak Arah, Abah saya tak mahu mengambil orang gaji lagi kerana anak gadis pada masa itu sudah mula seronok mahu bekerja kilang, dan kalau adapun yang mahu bekerja, selalunya tidak bertahan lama kerana mereka menganggapnya sebagai batu loncatan untuk berpindah ke bandar sahaja. Abah tidak percaya selain Kak Arah. Jika Kak Arah masih hidup sekarang ini, dia pasti sudah mencecah usia enam puluhan. Begitulah secebis kisah tentang seorang yang pernah singgah dalam kehidupan kami, berbakti dan membawa cahaya kegirangan di hati setiap ahli keluarga kami.