Pages

Friday, February 15, 2013

Durian Belanda

Akhir-akhir ini, sibuk dengar di kalangan kawan-kawan menasihat suruh makan durian belanda. Katanya ia baik untuk anti-kanser. Maklumlah dah tua-tua menjelang five series ni, kena berwaspada lebih.

Maklumat di bawah ini dicatatkan jua untuk faedah diri sendiri dan mereka yang berminat sahaja. Rasanya boleh dibilang dengan jari sebelah tangan khalayak yang akan meneruskan pembacaan berbentuk ilmiah ini. Lainlah kalau penulisan gosip tentang artis dan selebriti, pendedahan tentang kisah peribadi yang sibuk shopping sakan barang-barang branded, kisah menunjuk-nunjuk kekayaan dan kesenangan seseorang, ah sudah pasti ribuan pembaca berderetan memasuki.

Penafian/Disclaimer
(wah takut kena saman, sekadar berkongsi maklumat saja ya..)
* sumber/source - signs of the time website dated 21 feb 2012. www.sott.net

* Maklumat tentang penyelidikan ke atas durian belanda yang DIPERCAYAI mempunyai beberapa khasiat mengubati. BELUM DIBUKTIKAN.
Information about research on soursop BELIEVED to contain several healing properties. YET TO BE PROVEN.

.....................................................

Dipercayai yang durian belanda mempunyai khasiat yang boleh membunuh kanser 10,000 kali lebih efektif daripada ubat kimoterapi yang paling kuat, tanpa kesan sampingan yang teruk, tanpa menjejaskan sel-sel yang sihat. Menurut Cancer Research UK, Annona Muricata ini merupakan bahan utama dalam ramuan herba jenama Triamazon yang tidak diluluskan pelesenannya di UK. Ini adalah kerana kesan penyembuhan hebatnya dikhuatiri mengancam keuntungan ubat-ubatan kanser farmeseutikal. (hmmm..)

Di Brazil durian belanda dikenali sebagai graviola dan di Sepanyol guanabana, manakala dalam bahasa Inggeris soursop.

Lain-lain khasiat durian belanda dipercayai sebagai agen anti-mikrob bagi jangkitan bakteria dan kulat, sangat berkesan menentang parasit dan cacing dalaman, mengurangkan tekanan darah tinggi dan digunakan untuk mengatasi kemurungan, stres dan kecelaruan jiwa.

Penyelidikan menunjukkan bahawa ekstrak dari pokok yang menakjubkan ini (pokok??? bukan buah ke? err..buah sedap sikit kot..), boleh menyerang kanser secara selamat dan berkesan, terapi alamiah yang tidak menyebabkan mual, kehilangan berat dan kehilangan rambut yang melampau. Boleh melindungi sistem imun anda, mengelakkan infeksi/jangkitan yang membawa maut, menjadikan lebih kuat dan sihat sepanjang tempoh rawatan, merangsang tenaga dan memperbaiki pandangan anda terhadap kehidupan.

Beberapa ujian lain di Amerika Syarikat juga mendapati ekstrak daripada pokok ini dapat menyasarkan dan membunuh sel-sel malignan dalam 12 jenis kanser secara berkesan, termasuk kanser kolon, payudara, prostat, paru-paru dan pankreas.

Sebatian pokok ini 10,000 kali lebih kuat dalam memperlahankan pertumbuhan sel-sel kanser daripada Adriamycin, ubat kemoterapi yang biasa digunakan. Sebatian yang diekstrak daripada pokok graviola ini memilih dan membunuh hanya sel-sel kanser, ia tidak menjejaskan sel-sel yang sihat. Khasiat anti-kanser pokok graviola ini telah diselidik secara ekstensif, tetapi mengapa ianya bagaikan disenyapkan?

Ini jawapannya. Industri ubat-ubatan telah memulakan pencarian ubat kanser dan penyelidikan mereka bertumpu pada graviola. Dipercayai syarikat ubat telah mencuba selama hampir tujuh tahun untuk mensintesiskan dua daripada ramuan anti-kanser paling kuat daripada pokok graviola. Jika mereka boleh mengasingkan dan menghasilkan klon buatan manusia bagi bahan yang menjadikan graviola sangat mujarab, mereka akan dapat mempatenkannya dan membuat keuntungan.

Malangnya, keaslian bahan ajaib tersebut tidak dapat direplikakan. Dengan itu syarikat tidak akan dapat melindungi keuntungan mereka dan mendapatkan kembali perbelanjaan berjuta ringgit yang telah dilaburkan ke atas penyelidikan tersebut. Oleh kerana keinginan untuk mendapatkan keuntungan besar telah lenyap, ujian ke atas graviola disekat, syarikat memberhentikan keseluruhan projek dan memilih untuk tidak mewar-warkan penemuan hasil penyelidikannya.

..................................................

Jadi, hendak percaya atau tidak, terserahlah kepada pilihan masing-masing. Kalau saya, apa salahnya makan pun, rasanya pun sedap, boleh dimakan begitu sahaja, lebih enak jika yang masak ranum disejukkan terlebih dahulu di dalam peti sejuk. Kalau rajin buatlah jus durian belanda.

Keluarga saya memang telah terbiasa makan durian belanda ni, kerana pernah suatu ketika dalam kehidupan kami, ada sebatang pokok durian belanda di hadapan rumah. Pada masa itu kami mendiami kuarters kerajaan di Jalan Tengku Azizah, Bukit Cagar, Johor Bahru. Kuarters itu rumah papan berkembar dua, bertiang batu. Halaman rumah dipayungi pokok durian belanda dan pokok-pokok bunga kertas (bougainvillea) yang boleh bertukar-tukar warna sampai tiga kali. Magika kan! Pokok durian belanda pula sentiasa berbuah sepanjang kami tinggal di rumah itu. Abah saya paling rajin memetik dan memeram buah durian belanda. Dia akan memotong elok-elok dan menyejukkannya di dalam peti ais. Malam-malam kami akan makan sebagai pencuci mulut sambil menonton tv hitam putih kami. Aduh masih terasa-rasa lagi chilled soursop itu masuk ke tekak. Sungguh yummy dan menyamankan sekali. Kadang-kadang bila dah banyak sangat buah yang masak, Abah akan buat jus durian belanda. Isi durian belanda akan dilenyek-lenyekkan didalam jag, ditambah gula dan air dan disejukkan di dalam fridge. Fantastic sungguh! Kiranya dah berkoyanlah durian belanda masuk kedalam tekak dan perut kami. Mintak-mintak biarlah khasiatnya kekal abadi dalam darah daging kami sampai bila-bila. Biarlah hidup tidak sekaya dan sesenang mana, yang pasti nikmat Allah tidak disangka-sangka dan berada di mana-mana.