Mersing - Suatu ketika dahulu, semasa saya berusia satu hingga lima tahun..
Saya ni memang ibarat alim-alim kucing, nampak diam tetapi sebenarnya dalam kepala saya ni sentiasa merancang dan memikirkan sesuatu. Air tenang jangan disangka tiada buaya..Dalam diam-diam, saya suka buat kerja panjat-memanjat.
Pada suatu hari saya rasa begitu teruja untuk memanjat naik ke atas singki kegemaran ibu saya. Apabila ibu sibuk di dalam bilik, saya pun naik ke atas singki dan kemudian terjun semula ke bawah. Kelempung! Saya jatuh dan terseliuh kaki..aduh sakitnya sehingga tak boleh berjalan. Ibu pun kelam-kabut ke kedai untuk menelefon ayah di pejabat. Ayah pulang serta-merta dan terus membawa saya ke hospital. Kaki saya dibubuh ubat dan dibalut. Selepas seminggu sepatutnya saya sudah boleh kembali normal dan berjalan semula, tetapi oleh kerana kedegilan dan mungkin serik merasa sakit apabila memijakkan kaki, saya masih tidak mahu berjalan selepas sebulan terseliuh kaki. Ayah mula pening kepala, saya diupah bawa balik bercuti ke Johor Bahru, Datuk dan Nenek kedua belah juga datang melawat tetapi saya masih juga belum mahu berjalan semula. Akhirnya ayah bosan dan membiarkan saja saya berdukung ke sana ke mari. Ianya berlarutan sehingga lebih dari sebulan.
Pada suatu subuh yang gelap, tiba-tiba pintu rumah diketuk dan salam diberi. Tok Mat terpacak di depan pintu, dan minta agar ayah mengambil saya dan memberikan kepadanya untuk dijampi serapah. Tok Mat telah membawa saya ke laman, menyapu ‘buntat rimau’ di kaki saya sambil membaca beberapa ayat suci Al-Quran. Kemudian dia menyerahkan kembali saya yang masih tidur kepada ibu saya dan minta diri untuk berangkat pulang. Ayah berdiri tercegat dan tercengang-cengang dengan gelagat Tok Mat.
Tok Mat adalah pegawai kastam yang menjadi bapa angkat ayah semasa kami di Mersing. Di waktu lapang, kami sekeluarga selalu ke rumah beliau dan saya dianggap cucu angkatnya. Ayah pernah memberitahu Tok Mat tentang kerisauannya apabila saya tidak mahu berjalan semula. Tok Mat sekadar berkata, “Nanti aku tengokkan..” Tiba-tiba beliau muncul tanpa undangan di waktu yang paling tidak disangka-sangka. Menurut kata orang, Tok Mat sebenarnya pandai mengubat orang tetapi tidak mahu mengaku dirinya bomoh. Tok Mat rajin berburu dan pernah terserempak dengan harimau yang memuntahkan sebutir batu permata dipanggil ‘buntat rimau’, sebelum harimau itu masuk mandi ke dalam sungai. Tok Mat percaya batu permata ‘buntat rimau’ tersebut sebagai ada khasiat dan menggunakannya untuk mengubat orang yang rapat dengannya sahaja. Ayah sebagai seorang yang sangat open-minded dan Americanised, enggan mempercayai perkara-perkara mistik seperti ini.
Walaubagaimanapun, tengahari itu saya bangun dari tidur dan menjerit, “Mak! Dah boleh jalan, tak sakit pun!” Ibu terlalu gembira lantas menelefon ayah di pejabat, ayah terus mengambil cuti dan pulang segera ke rumah serta menimang-nimang saya penuh kegembiraan. Malamnya kami sekeluarga ke rumah Tok Mat untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.
..bersambung ke Mistik Tok Mat II.